IRINGI PKP 2.0 DENGAN PEMATUHAN SOP

ADA yang ‘longgar dan ada yang ketat’. Pergerakan masih terbatas atau bersyarat. Sektor ekonomi tidak ditutup sepenuhnya. Namun kehidupan kita masih di luar kebiasaan, tidak ‘sebebas’ dahulu.

Dalam tempoh setahun ini kebanyakan kita ‘diikat’ dengan tiga PKP – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat ( PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP). PKP 1.0 amat terasa. Kini PKP 2.0 pula muncul.

Pelbagai reaksi berikutan pelanjutan PKP 2.0 selama dua minggu lagi bermula 5 Februari ini. Masing-masing ada alasan. Semuanya ‘benar dan betul’ mengikut ‘keperluan dan kepentingan’ sendiri.

Ada juga yang bertanya kenapa disambung-sambung menyebabkan sukar merancang aktiviti.

Bermula dengan peringkat pelajar hinggalah orang pencen, masing-masing ada ulasan terhadap PKP 2.0 ini. Pelbagai reaksi, ada baik, ada buruk. Paling terkesan golongan yang ‘ada kerja ada gaji’, peniaga, penjaja, yang kais pagi makan petang.

Bagi yang bergaji bulanan terutama di sektor awam yang tidak terjejas dengan penutupan operasi sehingga menyebabkan pemberhentian pekerja, mereka mungkin tidak ada masalah, cukup bulan gaji masuk!

Begitu juga yang berpencen, untuk meneruskan kelangsungan hidup kebanyakannya mungkin tidak tertekan soal kewangan sebaliknya golongan ini lebih tertekan dan bosan di rumah, tidak dapat ke sana sini termasuk ke masjid dan surau.

Situasi tidak menentu akibat pertambahan kes jangkitan menyebabkan banyak keputusan awal berubah. Ada beberapa negara memperbaharui keputusan awal yang dibuat berdasarkan kedudukan kes jangkitan di dalam dan luar negara.

Ada juga yang marah-marah kerana sambung menyambung ini. Perancangan mereka terjejas. Jika begitu, PKP sepatutnya dilanjutkan untuk satu tempoh yang lebih panjang. Kendurkan atau longgarkan sebaik sahaja keadaan ‘tenang’.

Kenapa tidak PKP yan tidak menutup ekonomi ini dilanjutkan sehingga vaksin pertama disuntik? Kerajaan cuba seimbngkan ekonomi dan kesihatan tetapi ada kesukarannya kerana Covid-19 bukan  seperti denggi, diabetes atau darah tinggi.

Memang sukar bagi kerajaan membuat keputusan kerana di luar sana ramai bijak pandai yang hebat-hebat yang boleh ‘membaca’ dan ‘mengajar’ kerajaan apa yang perlu dan tidak perlu dibuat. Di tangan mereka seolah-olah ada ‘lampu ajaib’ .

Hakikatnya virus ini ada di mana-mana. Bahkan yang positif pun mungkin sama-sama beratur mengikut SOP ketika mahu membeli makanan di restoran, mendapatkan keperluan dapur di kedai runcit atau mereka rakan sekerja.

Justeru apa pilihan yang ada pada kita? Apa akan kita lakukan sekiranya kita di luar kerajaan tiba-tiba berada di dalam kerajaan? Adakah keputusan kita lebih baik? Hakikatnya banyak orang banyak ragam.

Mungkinkah pertambahan kes sehingga 5,000 sehari harus dilihat secara positif sebagai satu kejayaan mengesan kes? Sedar atau tidak golongan pekerja termasuk pekerja asing lebih bertuah kerana mereka ‘disantuni’ untuk memastikan sama ada mereka sebagai pembawa atau sebaliknya?

Hari ini, pilihan yang ada hanyalah mematuhi SOP. Seperti mesej MKN hari ini yang berbunyi: PKP di seluruh negara kecuali negeri Sarawak dilanjutkan sehingga 18.2.2021. Rakyat diminta BERSABAR dan terus patuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Isu SOP ini juga perlu diperkemaskan, mengikut bidang atau sektor tertentu, bukannya ‘pukul rata’. Bersyukurlah sektor ekonomi tidak ditutup sepenuhnya atau tidak dilaksanakan perintah berkurung seperti darurat 1969. Masih boleh ‘bernafas’.

Seperti ditegaskan saintis terkemuka Amerika Syarikat, tidak  perlu ‘tutup penuh’ atau ‘lockdown’ sebaliknya amalkan lima perkara asas dalam penjagaan kesihatan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Dr. Anthony Fauci pada Persidangan Covid-19 Persatuan AIDS Sedunia (IAS) kelmarin, menggariskan lima perkara itu iaitu memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, elak kawasan sesak khususnya di kawasan tertutup dan melakukan aktiviti yang dibenarkan di dalam atau di luar bangunan selain kerap membasuh tangan.

Justeru ketika ekonomi tidak tertutup rapat, SOP jangan diremehkan. Setiap orang tanpa mengira kedudukan atau jawatan perlu bertindak sebagai penguat kuasa, bukannya menunggu penguatkuasaan dikenakan ke atas mereka.

SOP lima perkara itu bukankah sesuatu yang baharu. Setiap hari ada sahaja mesej mengenainya tetapi sikap kita yang menyebabkan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. PKP dan SOP bukan bahan senda gurauan atau politik.

Hargailah ‘kelonggaran’ PKP 2.0 ini. Jangan asyik menuding jari.

Related posts

Leave a Comment