836 kes baharu di Thailand

BANGKOK 2 Feb. – Sebanyak 836 kes baharu Covid-19 termasuk 17 kes import direkodkan di Thailand hari ini dengan dua kematian warga emas yang membawa kepada jumlah kumulatif 20,454 kes dan 79 kematian.

Menurut maklumat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), daripada 836 kes itu,  819 adalah jangkitan tempatan di mana 710 kes hasil pengesanan aktif dan 109 individu yang mendapat rawatan di hospital.

Dua kematian yang direkodkan adalah wanita berusia 75 tahun di wilayah Samut Sakhon yang turut mengalami darah tinggi dan kolesterol tinggi manakala seorang lagi lelaki, 68, yang turut mengalami diabetis.

Daripada 710 kes hasil pengesanan aktif,  688 dikesan di Samut Sakhon – 629 migran Myanmar dan 59 warga Thai. Baki 22 kes dikesan di Bangkok iaitu 19 warga Myanmar dan tiga warga Thai yang dikesan di daerah Phasin Charoen.

Bagi kes yang direkodkan di hospital, 99 di Samut Sakhon melibatkan 76 warga Myanmar, 22 Thai dan satu Kemboja. Salah satu kes melibatkan bayi perempuan berusia 26 hari. Tujuh lagi kes di Bangkok.

Sementara itu kes import pula melibatkan ketibaan dari Switzerland (3), India (1), Nigeria (1), Amerika Syarikat (2), Perancis (1), United Kingdom (3), Denmark (1), Kanada(2) dan Malaysia (3).

Setakat ini, daripada 20,454 kes, 13,217 (64.6%) sembuh, termasuk 703 yang pulih dalam tempoh 24 jam manakala 7,158 masih menjalani rawatan.

Related posts

Leave a Comment