PKP dilanjut sehingga 18 Februari

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak, yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari  ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 Februari depan.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil atas penilaian risiko dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyaksikan trend peningkatan kes di semua negeri.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

KKM mengesahkan kes harian di kesemua negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positivitinya dalam kluster adalah 20 hingga 40 peratus, malah penularan sporadik dalam komuniti juga tinggi yang melibatkan warga negara dan juga yang bukan warganegara.

“Sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 18 Februari kecuali kawasan-kawasan di Sarawak yang telah diisytiharkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata, rentas negeri dan aktiviti sosial masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 2.0 itu.

“Rentas negeri sehingga hari ini apabila kita buka suatu ketika dahulu, ia menyumbang kepada kes positif dan terdapat 31 kluster berkaitan rentas negeri.

“Sebab itu kita memberikan penekanan rentas negeri tidak boleh diberikan (kerana) ia memberikan peningkatan kes positif,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memperketatkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan PKP2.0 itu.

“PKP 2.0 ini berbeza dengan PKP yang pertama, iaitu SOP amat ketat iaitu total lockdown dan tiada pergerakan keluar rumah. Semua sektor ekonomi juga hampir ditutup.

“Tetapi kali ini, terdapat kelonggaran sektor ekonomi dan perniagaan khususnya perniagaan mikro seperti penjaja dan peniaga kecil.

“Antara SOP ketat sebagai contoh, sebelum ini orang ramai bebas masuk ke pasaraya dan tiada had jumlah, tetapi (dalam PKP2.0 selepas ini), pasaraya perlu hadkan pembeli untuk masuk dalam satu-satu masa seperti yang kita laksanakan semasa PKP1.0,” jelas beliau.

Sementara itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Felda Bersia, Huku Perak dan di Felcra Nasaruddin Perak Tengah akan berkuatkuasa mulai 3 hingga 16 Februari ini.

 

 

Related posts

Leave a Comment