Tingkatkan penerima vaksin Covid-19

WASHINGTON : Bilangan orang yang diberi suntikan vaksin Covid-19 perlu ditingkatkan bagi memastikan keberkesanannya, kata pakar penyakit berjangkit terkemuka Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci.

Katanya walaupun data keberkesanan vaksin dicatatkan lebih rendah apabila diuji terhadap mutasi baharu Covid-19 yang dikesan di Afrika Selatan, namun ia tetap memberikan perlindungan.

Bercakap pada Persidangan Covid-19 Persatuan AIDS Sedunia (IAS), Dr Fauci mengakui vaksin yang dibangunkan tidak sempurna namun ia mampu memberi perlindungan bagi mengelak seseorang individu daripada dijangkiti semula virus itu.

“Keberkesanan vaksin mungkin kurang untuk melawan varian itu, bahkan bukan 100 peratus berkesan. Namun saya suka apa yang dikatakan berkenaan keberkesanan.

“Kita boleh pastikan ia berkesan sekiranya ramai individu divaksin. Vaksin ini mampu beri keberkesanan bagi varian jangkitan sebelum ini. Ia bukanlah sepenuhnya, tetapi boleh dibanggakan,” katanya pada Isnin.

Terdahulu, beberapa syarikat farmaseutikal melaporkan keberkesanan vaksin mereka berkurangan terhadap mutasi baharu Afrika Selatan, dikenali sebagai B 1.351.

Novavax menunjukkan hanya 50 peratus keberkesanan di Afrika Selatan berbanding ujian fasa terakhir di United Kingdom iaitu 89.3 peratus.

Johnson & Johnson pula berpendapat wujud perbezaan keberkesanan vaksin di mana Afrika Selatan hanya menunjukkan 57 peratus berbanding di Amerika Syarikat yang mencatatkan 72 peratus.

Mengenai kelewatan beberapa minggu suntikan kedua vaksin Covid-19, beliau berkata ia tidak akan memberi kesan yang ketara terhadap keberkesanannya.

Apa yang lebih penting, jelas, Dr  Fauci, suntikan dos kedua tetap diberikan bagi mencapai tahap penuh keberkesanan.

Berdasarkan data dan kajian sains, dos Moderna (diberi dalam selang masa) selama 28 hari, manakala Prizer selama 21 hari. Itu yang digariskan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Beliau berkata, jika seseorang itu mendapatkan suntikan kedua lewat beberapa minggu, ia lebih baik daripada tidak mendapat suntikan kedua langsung.

“Melainkan jika anda lewat enam bulan. Itu kes lain. Jika lewat empat, lima atau enam minggu, keberkesanannya tidak banyak beza. Bagaimanapun, sebaiknya, ikutlah jadual yang ditetapkan,” katanya.

Dr. Fauci juga menjelaskan mengenai kepentingan memastikan proses aliran vaksin berjalan lancar supaya tiada penangguhan.

Related posts

Leave a Comment