Lanjutan PKP, MKN mesyuarat Selasa

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 pada Selasa, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya keputusan berkaitan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diputuskan selepas mendengar penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung status terkini penularan Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status PKP yang akan berakhir 4 Februari ini selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Sentul dan Tol Gombak, selain turut menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan tidak akan menutup ekonomi sepenuhnya dalam usaha mengimbangi kehidupan rakyat ketika mengekang penularan Covid-19.

Katanya, tumpuan ketika ini diberikan kepada sektor perkilangan dan pembinaan yang ketika ini mencatatkan kes jangkitan tertinggi Covid-19.

“Kita wajibkan ujian saringan ke atas pekerja asing yang mungkin menyebabkan penyakit merebak dalam komuniti,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, setiap pekerja asing di seluruh negara akan diwajibkan menjalani ujian saringan mulai hari ini.

Tambah beliau, kerajaan memahami denyut nadi rakyat khususnya peniaga-peniaga kecil yang berdepan impak susulan penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menambah kerajaan turut akan meminda Ordinan Darurat melibatkan perumahan pekerja-pekerja asing yang dipercayai menjadi punca kepada peningkatan kes Covid-19.

“Perumahan juga salah satu punca (peningkatan kes) kerana perumahan tak kondusif. Pekerja-pekerja duduk secara berhimpit sehingga 20 orang dalam satu rumah.

“Jadi mungkin kita akan pinda Ordinan Darurat untuk memastikan majikan menyediakan tempat yang baik untuk pekerja dalam waktu yang kita tetapkan.

“Jadi, kita ada kilang, tapak binaan dan kita sudah tutup banyak kilang kerana melanggar peraturan,” jelas beliau.

Related posts

Leave a Comment