Reaksi kes remaja ditahan ISA

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bimbang dan sedih atas penangkapan seorang remaja yang merancang untuk melancarkan serangan ke atas dua masjid di Singapura.

Dalam satu kenyataan media, MUIS juga mengutuk semua perbuatan pengganasan sebagai “tiada tempat dalam mana-mana agama sekalipun”

“Perbuatan sedemikian akan memecahbelahkan masyarakat. Ini adalah peringatan membimbangkan bahawa ancaman ideologi radikal online sentiasa wujud dan menerusi media sosial ia menyusup masuk ke dalam kehidupan kita, membawa bahaya ideologi pelampau ke dalam rumah-rumah kita. Kami teramat bimbang khususnya terhadap remaja kita,” tegas MUIS.

Kenyataan itu dibuat susulan berita penangkapan seorang remaja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang serangan ke atas orang Islam.

Sementara itu, Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS) amat sedih dan menggesa para pemimpin gereja dan masyarakat Kristian berwaspada dan  “terus secara berhemat membimbing para belia” yang melakukan ibadat di gereja.

“Kami menerima berita mengejutkan ini dengan keprihatinan mendalam dan ingin melahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa kerana mengambil tindakan yang cepat,” menurut pertubuhan yang mewakili kira-kira 200 gereja.

“Kami menolak sebarang ideologi – sekalipun ideologi itu kononnya dilakukan di bawah label ‘Kristian’ – yang menggalak atau menghasut keganasan antara satu sama lain, terutamanya jika mereka daripada penganut agama yang berbeza,” kata NCCS.

NCCS percaya ia adalah kejadian terpencil dan remaja itu menjadi radikal sendiri dan bukan daripada sebarang ajaran daripada gereja-gereja di Singapura.

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dalam kenyataannya  menolak segala bentuk radikal, kezaliman serta penindasan dari mana-mana pihak terhadap agama.

“Ia tidak bertepatan dengan ajaran agama Islam, Kristian serta agama-agama lain yang menyemai keamanan dan keharmonian. Malah ia bertentangan dengan nilai-nilai sejagat yang memelihara kehormatan manusia dan menyebarkan kebaikan tanpa mengira bangsa dan agama,” menurut Pergas.

Pergas turut menyatakan kesediaannya untuk berkongsi bersama agama lain tentang pengalaman Pergas bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang dikendalikan bersama MUIS dalam membantu menangani kegiatan pelampau pihak-pihak yang lain.

Related posts

Leave a Comment