3,048 kes baharu, 11 kematian

PUTRAJAYA 25 Jan. – Malaysia merekodkan 3,048 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 186,849 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak lapan kes import dilaporkan mendapat jangkitan di luar negara manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini sebanyak 41,076.

Sebanyak 62 kes (2.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Matambai (18 kes), Kluster Tembok Taiping (16 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (10 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Mempaga (2 kes), Kluster Tembok Renggam (1 kes), Kluster Tembok Kemus (1 kes), dan Kluster Tropika (1 kes).

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan sebanyak 11 kes kematian baharu menjadikan jumlah kes kematian secara keseluruhannya kini 689 kes.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes dari Sabah, masing-masing dua kes dari Selangor dan Sarawak, dan satu kes masing-masing di Kelantan, Pahang, Perak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebanyak 10 kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Setakat ini, sebanyak 261 pesakit sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 101 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh terus mencatat peningkatan sebanyak 3,638 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 145,084 kes.

Related posts

Leave a Comment