PKPD di Penjara Taiping

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan bermula 26 Januari sehingga 8 Februari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di lokaliti itu di mana sehingga 23 Januari, sebanyak 43 kes positif Covid-19 direkodkan yang melibatkan 40 tahanan dan tiga kakitangan penjara.

Langkah itu juga bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, mengenai kuarantin wajib, semalam, seramai 874 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Sejak 24 April 2020, seramai 109,821 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 75 hotel dan 15 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Selain itu, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan dalam keadaan stabil dan mencukupi.

Related posts

Leave a Comment