Singapura catat 48 kes import

SINGAPURA 24 Jan. – Sebanyak 48 kes baharu Covid-19, semuanya kes import direkodkan di Singapura hari ini  jumlah import tertinggi setakat ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 59,308 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), tiada kes baharu dalam kalangan masyarakat termasuk di asrama pekerja asing.

Semua kes import sudahpun dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sebaik mereka tiba di sini, termasuk empat penduduk tetap Singapura, yang pulang dari India, Indonesia dan Malaysia.

Di samping itu terdapat empat pemegang pas tanggungan yang tiba dari Perancis, India dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) serta pemegang pas jangka panjang dari India manakala dua lagi pemegang pas pelajar yang tiba dari Mesir dan India.

Sebanyak 11 lagi kes import adalah pemegang pas kerja yang tiba dari Bangladesh, Colombia, Perancis, India, Nigeria dan UAE.

Seramai 22 orang adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Filipina – 10 daripada mereka adalah pembantu rumah asing.

Tiga lagi adalah pemegang pas lawatan jangka pendek, dua  tiba dari India untuk melawat anak mereka yang merupakan penduduk tetap di Singapura sementara seorang dari Amerika Syarikat yang datang  atas urusan kerja.

Baki kes adalah seorang kru kapal yang memegang pas khas yang tiba dengan menaiki kapal dari Malaysia. Namun beliau tidak turun kapal dan dihantar ke hospital apabila mengalami simptom yang kemudian diuji positif Covid-19.

Menurut MoH, jumlah keseluruhan kes dalam kalangan masyarakat meningkat kepada 15 dalam tempoh seminggu ini berbanding lapan pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tiada kaitan dalam kalangan masyarakat pula berkurangan kepada tiga minggu ini berbanding empat dalam minggu sebelumnya.

Bagi kes sembuh pula, 26 lagi pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau pusat-pusat pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sudah pulih sebanyak 59,041.

Sebanyak 50 kes lagi masih berada di hospital, kebanyakan dalam keadaan stabil atau semakin pulih dan tiada pesakit di unit jagaan rapi sementara 188 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.

Related posts

Leave a Comment