Aktiviti ekonomi tutup sepenuhnya?

JIKA benar aktiviti ekonomi ditutup sepenuhnya sekiranya kes penularan Covid-19 gagal dikawal menjelang 4 Februari, semua pihak perlu berusaha mengelakkan pertambahan kes termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hanya tinggal lebih kurang 10 hari, kes penularan belum menampakkan trend penurunan sebaliknya semakin meningkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung sekarang.

Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) mengeluarkan amaran dalam surat kepada ahlinya PKP penuh akan dikenakan iaitu dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi.

PKP itu sama seperti PKP pada peringkat awal yang menyebabkan hampir semua orang ‘berkurung’ di rumah. Tidak seperti PKP sekarang yang banyak ‘kelonggaran’.

Perkara itu (PKP penuh) dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Lokman Hakim Ali sewaktu mesyuarat bersama EuroCham.

Beliau memberitahu bahawa, Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pendirian jelas tentang penutupan sepenuhnya ekonomi.

Sebanyak 99 kluster Covid-19 di Malaysia adalah berkait dengan sektor pembuatan, dan pihak KKM percaya sektor itu punca utama kepada jangkitan,” kata EuroCham dalam satu kenyataan.

EuroCham berkata, sektor pembinaan juga turut disebut menjadi antara punca penularan, namun perkara itu hanya dibincangkan secara ringkas memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa MITI.

MITI merayu kepada semua syarikat asing dan tempatan untuk bersama-sama berusaha mengurangkan dan memutuskan rantaian jangkitan demi memastikan ekonomi terus dibuka untuk perniagaan.

Related posts

Leave a Comment