Singapura catat 30 kes baharu

SINGAPURA melaporkan 30 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari ini, Jumaat (15 Januari ) yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes setakat ini 59,059 dengan kematian kekal….

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), 29 kes adalah kes import dan satu kes jangkitan dalam masyarakat melibatkan seorang wanita warga Singapura berusia 57 tahun yang merupakan seorang suri rumah. Tiada kes di asrama pekerja asing.

Wanita itu yang dikenali sebagai Kes 59321, tidak mengalami gejala dan dikesan ketika dia mengambil ujian Covid-19 prapelepasan pada 13 Januari sebagai persiapan bagi lawatan ke Vietnam.

Sementara itu, baki 29 kes adalah kes import dan sudah diberikan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di sini.

Mereka termasuk seorang rakyat Singapura dan lima penduduk tetap yang pulang dari Amerika Syarikat, Britain dan India serta seorang pemegang pas lawatan jangka panjang yang tiba dari India.

Sebanyak 13 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India dan Myanmar, di mana lima merupakan pembantu rumah asing.

Satu lagi kes merupakan kru kapal yang memegang pas khas yang tiba dari Emiriyah Arab Bersatu dengan menaiki sebuah kapal pada 11 Januari . Dia tidak turun kapal dan diuji bagi Covid-19 lalu dihantar ke hospital apabila keputusan ujiannya positif.

Tiga lagi kes import melibatkan pemegang pas lawatan jangka pendek. Dua daripada mereka tiba dari India dan Myanmar untuk menjalani pengajian di Singapura sementara satu kes tiba dari India untuk melawat pasangannya yang merupakan seorang penduduk tetap Singapura.

Baki lima kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari India, Pakistan dan UAE. Tiga daripada mereka tiba dari Bangladesh pada 24 Disember dan menjalani notis SHN di kemudahan khusus sehingga 7 Januari .

MOH menyatakan 14 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan keseluruhan jumlah kes yang sembuh sebanyak 58,771.

Sebanyak 51 kes masih dirawat di hospital di mana sebahagian besar berada dalam keadaan stabil atau beransur pulih dan tiada yang dirawat dalam unit jagaan rapi. 208 lagi pesakit diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Sementara itu warga emas akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 mulai akhir bulan ini, lebih awal daripada yang dijangkakan.

Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata ia akan dilakukan menerusi sistem tempahan, di mana warga emas akan mendapat bantuan untuk melakukan demikian.

Related posts

Leave a Comment