PKPD blok tahanan Imigresen

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Johor bermula 23 Januari sehingga 5 Februari depan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

“Sehingga 21 Januari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 360 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 177 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor bermula 23 Januari sehingga 5 Februari 2021,” katanya.

Menurut Ismail, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada kakitangan dan komuniti luar.

Beliau juga memaklumkan seramai 660 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) di mana daripada jumlah itu, 621 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (228), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakkan fizikal (96), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54),premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98).

Related posts

Leave a Comment