Vaksin sebagai ikhtiar

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Hukum penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara inj adalah selaras dengan pandangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan institusi-institusi fatwa dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau turut mengambil inisiatif menulis surat kepada tokoh ilmuwan Islam dunia, bagi mendapatkan pandangan peribadi mereka dalam hal berkenaan.

Mereka termasuk Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah; dan anggota Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily.

“Semuanya menjurus kepada perlunya vaksin dan pendapat ini juga saya terima dari MUI (Majlis Ulama Indonesia),” katanya dalam khutbah Jumaatnya di Surau Ar Rahman, Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.

Zulkifli berkata pihaknya akan berterusan memberi kefahaman dan pencerahan sebaiknya kepada umat Islam dalam negara, berkenaan isu vaksin itu.

Tegasnya juga, sesuatu hukum yang  diputuskan tidak ada kena mengena untuk kepentingan peribadi, tetapi ia lebih bagi menyelesaikan permasalahan umum.

Sementara itu khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bertajuk: “Vaksin Sebagai Ikhtiar, Penyakit Jangan Dibiar” menegaskan Islam amat menitikberatkan soal pencegahan penyakit sebelum ia menimpa manusia.

Justeru pengambilan vaksin Covid-19 ketika ini menjadi sangat penting dan paling utama adalah untuk melindungi diri terutama bagi golongan yang berisiko tinggi.

Menurut khutbah itu, bagi Covid-19, jika kita tidak mengambil vaksin, berkemungkinan mudah untuk mendapat jangkitan malah dibimbangi juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Kajian juga menunjukkan kesan jangka masa panjang kepada pesakit yang telah sembuh.

Justeru, dengan menggunakan vaksin,  berkemungkinan dapat menghentikan jangkitan daripada berlaku serta dapat melindungi orang lain yang tidak boleh mendapat vaksin seperti wanita mengandung, kanak-kanak dan pesakit yang mempunyai penyakit berisiko.

Apabila sebahagian besar masyarakat dilindungi daripada jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, penyebab penyakit sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung daripada jangkitan.

“Inilah yang dinamakan sebagai ‘imuniti kelompok’. Justeru, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara,” jelas khutbah itu.

Khutbah juga mengajak rakyat supaya  bersedia menerima arahan daripada pemerintah selagi mana arahan itu tidak bercanggah dengan perintah Allah SWT dan dilakukan untuk maslahah kita bersama.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Related posts

Leave a Comment