Mercedes S560e: Ketua Menteri mohon maaf

GEORGETOWN 10 Jan. – Disebabkan Mercedes S560e, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memohon maaf kepada seluruh rakyat Pulau Pinang berikutan pembelian kereta rasmi baharu itu ketika negara berhadapan waktu sukar akibat Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota itu berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas pembelian kereta model tahun 2019 berharga kira-kira RM458,000 (S$150,000).

Pihaknya akan lebih berhati-hati membuat pertimbangan khususnya membabitkan pembelian dan ia menjadi pengajaran buat beliau dan kerajaan negeri kerana walaupun ada keperluan untuk menukar kereta rasmi namun masanya kurang tepat.

“Kereta untuk kegunaan Ketua Menteri dibeli mengikut proses pentadbiran sewajarnya dan saya ambil maklum pandangan semua pihak.

“Namun sebagai Ketua Menteri jika ada pihak tersinggung dan rasa ia tidak tepat pada waktunya, kalau ada keperluan pun mungkin boleh ditunda sebab pandemik, saya memikul tanggungjawab terakhir pada isu ini,” katanya selepas menghadiri majlis sumbangan ikhlas beg penyayang One Hope Charity di Pusat Khidmat Padang Kota di sini hari ini

Khamis lepas, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang berkata Ketua Menteri telah dibekalkan dengan kereta rasmi baharu bagi menggantikan Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Bagaimanapun , pembelian kereta  itu dikecam ramai pihak termasuk Parti Gerakan yang meminta kerajaan negeri agar tidak boros berbelanja terutama dalam perkara yang tidak begitu penting seperti menukar kereta rasmi.

Menjawab soalan berhubung kerisauan beberapa pihak kononnya kerajaan negeri menggunakan wang rakyat untuk membeli kereta berharga ratusan ribu itu, Chow berkata perkara tersebut tidak benar kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah bersedia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Related posts

Leave a Comment