200,000 botol zamzam malam 27 Ramadan

MAKKAH – Presidensi Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, mengedarkan lebih 200,000 botol air zamzam kepada para jemaah di Masjidilharam termasuk yang mengerjakan ibadah umrah pada malam 27 Ramadan.

Pengedaran ini dilakukan di bawah rancangan eksekutif dan perkhidmatan yang disusun sesuai dengan memenuhi standard kesihatan tertinggi ketika menawarkan air zamzam di dalam masjid.

Pengarah Pentadbiran Zamzam Ahmad Shanbar Al-Nadawi berkata,  botol air zamzam diedarkan di sepanjang Masjidilharam dan pekarangannya melalui lebih 1,000 pekerja.

Air juga diedar atau disediakan di laluan pejalan kaki, ruang solat jenazah, ruang solat tingkat satu untuk orang berkeperluan khas, di pintu masuk serta halaman Raja Fahd dan Raja Abdullah.

Menurut Saudi Press Agensi (SPA), edaran juga dibuat melalui petugas yang membawa 190 beg sandang dan 375 beg silinder dengan kapasiti 10 liter untuk setiap beg; sejumlah 37,500 liter air zamzam sehari.

Pihak pentadbir juga memperuntukkan 10 kereta bergerak untuk mengedarkan air zamzam di kawasan Tawaf dan kawasan lain yang diperuntukkan untuk Tawaf, dengan jumlah kapasiti 80 liter air sejuk dan biasa.

Edaran air zamzam di kawasan Tawaf untuk jemaah umrah bermula sebelum solat Maghrib dan berlangsung hingga menjelang solat Subuh .

Related posts

Leave a Comment