Thailand catat 305 kes baharu

BANGKOK 7 Jan. –  Thailand merekodkan 305 kes baharu dan satu lagi kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif kini sebanyak 9,636 serta 67 kematian.

Kematian baharu itu melibatkan lelaki warga emas rakyat tempatan berusia 88 tahun yang juga penghidap kanser. Dia dijangkiti Covid-19 menerusi anak lelakinya yang mengunjungi kawasan berisiko tinggi di wilayah Rayong.  

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19  Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada jumlah kes baharu itu, 193 adalah jangkitan tempatan, 109 lagi dikesan menerusi pengesanan aktif di Samut Sakhon serta tiga kes import. 

Ketika ini  5,115 pesakit sedang menerima rawatan.

Berikutan peningkatan kes, kerajaan menguatkuasakan langkah yang lebih ketat bagi mengawal perjalanan merentas wilayah di lima zon merah, iaitu Samut Sakhon, Chonburi, Rayong, Trat dan Chanthaburi.

Lebih banyak sekatan jalan raya diadakan di wilayah terbabit dan masyarakat perlu mendapatkan dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan untuk perjalanan merentas wilayah.

Gelombang terkini di Thailand yang tercetus di pasar makanan laut di Samut Sakhon pada pertengahan Disember lalu kini merebak ke 56 wilayah di negara itu.

Selain itu, pihak berkuasa turut mengenal pasti beberapa kluster lagi termasuk tempat perjudian tidak berlesen di Rayong, gelanggang laga ayam di Ang Thong serta pusat-pusat hiburan di kawasan Pin Klao di sini.

Related posts

Leave a Comment