Wartawan Gaza kritikal, kebuluran

DOHA – Nasib wartawan di Gaza telah mencapai tahap kritikal, dengan ramai daripada mereka mempertaruhkan nyawa dalam keadaan kebuluran dan menjadi sasaran serangan.

Justeru Al Jazeera Media Network merayu tindakan tegas diambil bagi menghentikan kebuluran paksa dan jenayah terhadap wartawan serta pengamal media di Gaza.

Ketua Pengarahnya, Dr Mostefa Souag, berkata komuniti antarabangsa mesti bertindak segera untuk mengakhiri penderitaan yang ditanggung oleh wartawan di kawasan terkepung itu.

Al Jazeera mendesak masyarakat kewartawanan, pertubuhan kebebasan akhbar, dan badan undang-undang berkaitan untuk bertindak segera sebelum terlambat.

“Kita berhutang kepada wartawan berani di Gaza untuk mengangkat suara mereka dan menamatkan penderitaan yang tidak tertanggung akibat kebuluran paksa dan pembunuhan bersasar oleh pasukan pendudukan Israel.

“Masyarakat kewartawanan dan dunia menanggung tanggungjawab yang besar; adalah menjadi tugas kita untuk menyuarakan dan menggerakkan segala cara yang ada untuk menyokong rakan-rakan kita dalam profesyen mulia ini.

Jika kita gagal bertindak sekarang, kita berdepan risiko masa depan tanpa sesiapa lagi untuk menyampaikan kebenaran. Kegagalan kita akan tercatat dalam sejarah sebagai kegagalan besar melindungi wartawan dan pengkhianatan terhadap prinsip kewartawanan yang kita junjung,” katanya.

Al Jazeera berkata wartawan yang selama ini melaporkan peristiwa genosid secara berani kini terpaksa berjuang demi kelangsungan hidup sendiri.

Pada 19 Julai, wartawan Al Jazeera mula memuat naik mesej-mesej menyayat hati di media sosial, menandakan bahawa kapasiti mereka untuk meneruskan tugasan semakin berkurangan.

Meskipun berdepan ancaman dan tekanan, Al Jazeera menegaskan bahawa wartawannya enggan tunduk kepada taktik gertakan yang bertujuan membungkam laporan media.

Mereka juga memberi amaran bahawa tindakan itu akan menyebabkan hampir keseluruhan kekejaman di Gaza tidak lagi dilaporkan kepada dunia.

Sejak Oktober 2023, pasukan pendudukan Israel telah membunuh lima wartawan Al Jazeera, iaitu Samer Abudaqqa, Hamza AlDahdouh, Ismael Al-Ghoul, Ahmed Al-Louh, dan Hossam Shabat, selain beberapa ahli keluarga serta pengamal media lain.

Nnn

Related posts

Leave a Comment