Malaysia catat 98,737 kes

PUTRAJAYA  23 Dis. – Turun berbanding semalam tetapi masih mengekalkan empat angka apabila kes harian positif Covid-19 merekodkan 1,348 kes hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 98,737 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 1,348 itu, 16 merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,332 kes.

Dalam masa sama, beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 18,279 kes.

Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh 24 jam juga, bilangan kes sembuh Covid-19 pula adalah 710 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 80,014 kes (81.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini juga, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 44 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat pertambahan lima kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 444 kes (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

 

Related posts

Leave a Comment