Kos vaksin rahsia perjanjian

PUTRAJAYA 23 Dis. – Kerajaan tidak boleh mendedahkan kos vaksin Covid-19 disebabkan syarat kerahsiaan yang ditetapkan oleh syarikat farmaseutikal, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, setiap kerajaan tertakluk dengan syarat kerahsiaan, dan Malaysia  tidak boleh memperincikan harga berdasarkan setiap pengeluar vaksin. 

“Kalau kita langgar syarat ini, akan menjejaskan perjanjian kita dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin. Ini adalah syarat mereka, bukan syarat kita,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan perolehan vaksin Covid-19, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin bersedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan pemerolehan vaksin Covid-19 termasuk kosnya secara terperinci.

Namun katanya ahli jawatankuasa itu perlu patuh pada syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin. 

Beliau berkata taklimat itu bagi menjawab kenyataan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang mendakwa Malaysia membayar harga vaksin Covid-19 kira-kira 20 kali ganda lebih tinggi berbanding harga yang dibayar kerajaan Belgium.

Ditanya mengenai kemungkinan maklumat itu bocor,  Khairy berkata beliau tidak ada pilihan selain bertemu dengan ahli PAC sekiranya mahu bersikap telus dalam pemerolehan vaksin berkenaan.

“Saya mahu menjadi setelus mungkin, saya mahu beritahu rakyat Malaysia yang saya sangat gembira dengan harga yang diberikan Pfizer kepada kita, kalau boleh saya hendak cakap sekarang, tapi tidak boleh. Malah, jika dibandingkan dengan harga Kesatuan Eropah yang kononnya dibocorkan, saya lagi gembira dengan harga yang kita dapat,” katanya.

Khairy menegaskan pemerolehan vaksin Cocid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer (Amerika Syarikat) dan AstraZeneca (United Kingdom) dibuat secara rundingan terus dengan harga yang diterima adalah harga pengeluar, bukan melalui orang tengah atau pengedar.

Menurutnya, AstraZeneca juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar hari ini yang mengesahkan bahawa Malaysia telah membeli vaksin pada harga kos  iaitu harga yang dikeluarkan oleh AstraZeneca.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman bahawa ada pihak meraih komisen RM500 juta menerusi pembelian vaksin Covid-19, Khairy berkata perkara itu adalah tuduhan tanpa bukti.

“Seperti saya maklumkan sebelum ini, dengan Pfizer dan AstraZeneca kita berunding terus, dan yang tiga lagi (syarikat farmaseutikal) walaupun melibatkan syarikat tempatan tetapi kerajaan juga terlibat dalam rundingan.

“Ini adalah rundingan triparti melibatkan Sinovac, kerajaan Malaysia dan syarikat tempatan untuk memastikan kita dapat harga yang terbaik. Tiada komisen,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Katanya kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan syarikat Sinovac dan CanSinoBIO dari China serta The Gamaleya National Centre dari Rusia bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Related posts

Leave a Comment