Putra gesa KPKT dedah butiran lengkap kiosk

KUALA LUMPUR 20 Mei  – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menuntut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan butiran lengkap spesifikasi kiosk termasuk kos pembinaan, pemasangan dan lokasi ia ditempatkan.

Ketua Wanita Putra Nurhafizah Jamalludin berkata, kos pembinaan satu unit MyKiosk yang mencecah RM25,000, adalah suatu jumlah yang tidak munasabah dan mencurigakan dalam suasana ekonomi yang semakin menekan rakyat marhaen.

Katanya, Putra tidak menolak inisiatif membantu peniaga kecil, tetapi persoalan yang timbul susulan projek MyKiosk itu tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.

“Kami ingin bertanya secara terbuka apakah justifikasi ekonomi di sebalik kos yang begitu tinggi? Adakah nilai RM25,000 itu benar-benar digunakan untuk rakyat atau digunakan atas nama rakyat?

“Adakah ini inisiatif ekonomi atau helah licik untuk mengalihkan dana rakyat ke tempat yang tidak diketahui penghujungnya?,” kata Nurhafizah dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menuntut senarai penuh kontraktor dan subkontraktor yang terlibat dalam projek ini; audit bebas oleh badan bukan kerajaan, bukan semata-mata laporan rasmi kerajaan yang hanya menenangkan rakyat secara kosmetik.

Di samping itu Putra ingin tahu jaminan tempoh kegunaan dan pulangan ekonomi, berapa lama kiosk ini boleh digunakan dan apa jaminan ia akan menjana pendapatan peniaga.

Beliau juga mempersoalkan keputusan untuk menempatkan kiosk tersebut di lokasi yang disifatkan sebagai tidak strategik.

“Lebih menyedihkan apabila kita melihat lambakan kiosk ini ditempatkan di lokasi yang tidak strategik, malah ada yang didirikan di kawasan sunyi, hujung jalan dan pinggir hutan, seolah-olah sekadar menghabiskan kuota perbelanjaan tanpa mengambil kira kebajikan dan kelangsungan peniaga,” dakwanya.

Putra juga mengajak seluruh rakyat tanpa mengira parti dan latar belakang untuk bersama-sama menuntut ketelusan, keadilan dan pertanggungjawaban dalam isu ini.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment