Jaminan bekalan 40 % vaksin

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Kerajaan  telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin Covid-19, iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini bersama fasiliti COVAX dan Pfizer. 

Menerusi perjanjian yang ditandatangani dengan fasiliti COVAX dan Pfizer, Malaysia dijadualkan menerima bekalan yang meliputi 30 peratus rakyat negara ini.

Kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan tambahan jaminan bekalan vaksin melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Beliau mengumumkan demikian menerusi rakaman video berhubung perkembangan terkini isu itu yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kerajaan sebelum ini menyasarkan untuk memastikan liputan vaksin kepada 70 peratus rakyat.

Perdana menteri berkata melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai setakat ini, kerajaan akan membelanjakan keseluruhan US$504.4 juta (RM2.05 bilion).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat serta pembangunan negara. 

“Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi,” katanya.

Menurut Muhyiddin kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin mencukupi.

Katanya, vaksin yang diperoleh ini akan dipastikan selamat dan berkesan.

Related posts

Leave a Comment