RUU : 105 sokong, 95 tolak

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi undian belah bahagi dengan 105 menyokong manakala 95 tidak menyokong sementara 20 ahli Parlimen lagi tidak hadir.

Perkara itu dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun kira-kira pukul 2.30 petang.

Keputusan itu dibuat selepas sidang ditempohkan selama 10 minit bagi membolehkan undian dijalankan termasuk memberi masa kepada Ahli Parlimen untuk masuk ke dalam dewan.

Ia adalah sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan hanya 80 ahli Parlimen memasuki dewan.

Sebelum itu, sesi penggulungan RUU bagi JPM dilakukan oleh lima menteri iaitu JPM dimulakan dengan Dr Maximus Ongkili, Mohd Redzuan Md Yusof, Mustapa Mohamad, Takiyuddin Hasan dan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

JPM diperuntukkan RM11.69 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Related posts

Leave a Comment