PM antara penerima pertama

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.

Ini akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.

Perdana Menteri berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera. 

Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin daripada Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasaran seawal Februari 2021.

Muhyiddin berkata demikian dalam video perkembangan terkini berhubung pemberian vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Menurut perdana menteri, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu dalam kalangan penerima.

Related posts

Leave a Comment