Rayuan haji sehingga 13 Feb.

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Mulai hari ini hingga 13 Februari 2021, pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) boleh mengemukakan rayuan menerusi dalam talian menggunakan aplikasi THiJARI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, rayuan haji tidak perlu lagi dibuat menerusi permohonan surat rayuan yang perlu dihantar kecpejabat Tabung Haji.

“Selain daripada rayuan haji, bakal haji juga boleh menyemak pendaftaran haji, status rayuan haji, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai lagi perkhidmatan lain seperti urusan simpanan dan pengeluaran melalui aplikasi itu,” katanya dalam sidang media di sini..

Ditanya mengenai bakal haji yang kurang mesra kepada teknologi untuk menggunakan aplikasi itu, Zulkifli berkata, pihak Tabung Haji akan mengajar mereka yang tidak faham atau tidak tahu menggunakan kemudahan tersebut.

“Rayuan ini pula adalah mereka yang pernah memohon untuk melakukan ibadah haji dan sudah pasti maklumat berhubung prosesnya sudah diketahui sedikit sebanyak. Tidak semua akan merayu.

“Saya juga yakin, anak-anak yang cerdik pandai akan mudah mengakses aplikasi ini (bagi pihak bakal haji masing-masing),” jelasnya.

Sementara itu, kerajaan menjangkakan beberapa syarat dan caj tambahan baharu akan dikenakan kepada bakal haji sempena musim haji akan datang (1442H/2021M)

susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan lebih ketat dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi.

Berucap merasmikan program Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di sini hari ini beliau berkata, langkah itu selari dengan usaha bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Oleh itu, bakal haji juga perlu bersedia dari segi kewangan bagi memenuhi tuntutan ini nanti di samping jangkaan syarat pemilihan bakal haji dari aspek tahap kesihatan.

Katanya, bakal haji Malaysia harus sentiasa lebih bersedia dari segi kesihatan fizikal dan mental termasuk membiasakan diri dengan norma baharu bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri jika terpilih mengerjakan ibadat haji nanti.

Related posts

Leave a Comment