Tun Rahah meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah, meninggal dunia sekitar pukul 4.30 petang, Jumaat (18 Disember) di Pusat Perubatan Prince Court di sini.

Pemergian Tun Rahah, yang berusia 87 tahun itu disahkan sendiri oleh  Najib Tun Razak menerusi akaun Twitter rasminya:

Tun Rahah merupakan ibu kepada Najib, dan empat yang lain termasuk bekas Pengerusi CIMB Group, Mohamed Nazir Razak.

Rahah merupakan figura penting di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara iaitu suaminya, Allahyarham Tun Abdul Razak serta anaknya Najib, Perdana Menteri keenam.

Dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor, beliau adalah puteri bongsu kepada seorang ahli politik negara, Allahyarham Mohamed Noah Omar dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, di Johor Baharu.

Rahah, mendirikan rumah tangga dengan Abdul Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Mohamed Nazir, Ahmad Johari,  Mohamed Nizam serta Mohamed Nazim.

Walaupun beliau menjadi balu pada usia muda, ketika berusia 43 tahun selepas Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 akibat leukemia, beliau mampu membesarkan lima anaknya sehingga menjadi individu berjaya dalam pelajaran mahupun kerjaya masing-masing.

Sebagai seorang isteri kepada pemimpin utama negara, Rahah banyak memberikan semangat dan perangsang kepada suaminya terutama ketika menghadapi peristiwa darurat di Tanah Melayu dan rusuhan kaum pada tahun 1969.

Beliau juga sering mengiringi suami menjalankan tugas-tugas rasmi negara sama ada di dalam mahupun luar negara. 

Memandangkan ayahnya mempunyai pengalaman yang luas dalam politik termasuk pernah menjadi  Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama dan Yang Dipertua Dewan Negara, Rahah banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada ayahnya tentang selok-belok politik.

Beliau turut memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihan raya dengan berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.

Rahah seorang yang aktif dalam pergerakan kaum Ibu UMNO (kini Wanita UMNO) dan pernah menjadi pengasas pergerakan Wanita UMNO Petaling Jaya, selain cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi manfaat kepada kaum wanita. 

Beliau juga adalah penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) yang pertama pada 1969 hingga 1976 selain pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan menjadi Canselor pertama Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada 2001.

Sebagai seorang ibu, Rahah memainkan sebahagian besar peranan dalam mengasuh dan mendidik putera-puteranya. 

Setelah Abdul Razak meninggal dunia, Rahah menjadi ibu dan bapa kepada anak-anaknya yang ketika itu masih belajar.

Beliau disifatkan sebagai seorang ibu yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan dengan penuh  kasih sayang.

Najib dalam perutusan sempena Hari Ibu sebelum ini, berkata beliau tidak mungkin berada pada kedudukannya sekarang jika tidak kerana sokongan dan kasih sayang ibu yang tidak pernah pudar.

Menurutnya, beliau mengagumi dan terasa kerdil dengan ketinggian peradaban, sikap tenang, kemurahan dan kebaikan hati, kebijaksanaan serta gerak hati ibunya selama ini.

“Ibulah yang telah membolehkan setiap daripada kami memenuhi potensi diri; memenuhi janji cita-cita kami dan menyelusuri laluan yang telah ditentukan sebagai takdir kami,” katanya.

Pelbagai penganugerahan darjah dan pengiktirafan diterima Allahyarham, antaranya dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota daripada Kerajaan Persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran ‘Tun’, Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia serta menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia.

Related posts

Leave a Comment