Kempen suntik vaksin di Saudi

RIYADH 18 Dis. – Arab Saudi merekodkan 174 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan setakat ini meningkat kepada 360,690 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan, 10 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi virus Covid-19 yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes 6,101 kematian.

Pada masa yang sama sebanyak 208 pesakit sembuh menjadikan jumlah pesakit pulih meningkat kepada 351,573 orang atau 97.5 peratus daripada keseluruhan kes.

Kes aktif pula sebanyak 3,016 kes di mana 436 adalah kritikal.

Daripada 174 kes baharu itu, Riyadh merekodkan 47 kes diikuti Makkah 36 dan Madinah 28.

Sementara itu, Arab Saudi memulakan kempen besar-besaran suntikan vaksin Covid-19 dengan Menteri Kesihatan, Dr Tawfiq Al-Rabiah, yang pertama menerima suntikan vaksin itu semalam (17 Disember ).

Beliau menyifatkan permulaan kempen suntikan itu sebagai tanda bermulanya pemulihan daripada krisis Covid-19.

Dr Al-Rabiah berjanji kesemua 34 juta rakyat Saudi akan mendapat suntikan vaksin secara percuma.

Seperti Britain, Saudi juga menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech yang diterimanya pada Rabu lalu (16 Dis).

Dalam tahap pertama kempen, suntikan diberikan kepada pekerja kesihatan, rakyat dan penduduk berusia lebih 65 tahun serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain.

Kerajaan Saudi berharap dapat menyuntik sekurang-kurangnya 70 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Related posts

Leave a Comment