1,771 petugas dijangkiti

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Sebanyak 1,771 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan direkodkan sehingga hari ini dengan 1,359 kes atau 76.7 peratus daripadanya berlaku semasa gelombang ketiga pandemik Covid-19, termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan hari ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumpulan petugas kesihatan yang melaporkan kes jangkitan tertinggi sejak bermulanya pandemik itu ialah jururawat dengan 690 kes, pegawai perubatan (211 kes), pembantu perawatan kesihatan (146 kes), pembantu pegawai perubatan (144 kes) dan pegawai perubatan siswazah sebanyak 84 kes. 

Berdasarkan siasatan, beliau berkata 587 kes petugas mendapat jangkitan dari komuniti, 565 kes berlaku di antara petugas-petugas kesihatan, 152 kes jangkitan berkaitan dengan pesakit-pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan, 58 kes tidak diketahui punca, dan 409 kes punca masih dalam siasatan. 

“Pada hari ini seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2 peratus. Manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (Home Surveillance Order–HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Berhubung jangkitan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, Dr Noor Hisham berkata hingga hari ini, terdapat 72 petugas hospital itu sedang menjalani perintah HSO namun kesemua berada dalam keadaan stabil.

Beliau turut mengesahkan terdapat jangkitan dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Serdang yang setakat ini melibatkan 29 petugas perubatan serta 28 pesakit dan kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

Related posts

Leave a Comment