Sudah longgar jangan terlalu bebas

SEJAK kebelakangan ini banyak kelonggaran diberi bagi membolehkan ‘pergerakan manusia dan ekonomi’ lebih bebas ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kelonggaran atau ‘kebebasan bersyarat’ itu termasuklah jumlah penumpang dalam kenderaan, tiada lagi had jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk bagi setiap meja makan di restoran dan kedai makan serta melanjutkan operasi perniagaan kedai makan dan kedai serbaneka sehingga 2 pagi.

Kebebasan yang paling dinantikan adalah rentas daerah dan negeri tanpa perlu surat kebenaran polis sekaligus mendorong orang ramai ke sana ke sini sama ada balik kampung atau melancong dalam negara. Sama ada zon merah atau hijau, pergerakan sama sahaja sehingga timbul kebimbangan pihak yang berada di zon hijau.

Pada masa yang sama, banyak juga majlis sosial berlangsung setelah lama tertangguh sama ada mesyuarat, keraian malahan kenduri kahwin.
Kebebasan ini jauh berbeza dengan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berjaya mengurangkan penularan pandemik.

Bagaimanapun, ketika kebebasan itu hadir dalam kehidupan, ada juga masjid dan surau belum dibuka sepenuhnya akibat kedudukan di zon merah walaupun hakikatnya jemaah di zon merah bebas ke sana sini merentas daerah dan negeri untuk melepaskan kerinduan solat Jumaat.

Persoalan yang timbul sekarang sejauh manakah kebebasan ini dijamin tidak membawa penularan lebih pantas wabak Covid-19?

Mampukah kebebasan ini mendorong masyarakat membantu membendung atau memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang semakin meningkat? Atau keadaan semakin ‘parah’ apabila masyarakat gagal ‘memanfaatkan kebebasan’ yang diberi?

Jangan kita terleka dengan jangkitan melibatkan kluster pekerja. Jangan kita leka unjuran kes yang dijangka meningkat dan tidak lagi gentar dengan empat angka. Tidak mustahil lebih banyak kluster majlis keraian wujud jika orang awam leka dan gagal mematuhi prosedur operasi standard ( SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberi peringatan berikutan kebelakangan ini banyak kluster terbentuk daripada perhimpunan sosial yang melibatkan kaum keluarga.

Beliau memberi contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya merebak dalam komuniti.

Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian. Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur bermula daripada upacara keagamaan yang membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan.

Justeru amat penting orang ramai mematuhi SOP dalam semua keadaan dan di semua tempat memandangkan aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa pematuhan akan meningkatkan risiko penularan Covid-19.

Masyarakat perlu waspada selalu dan berusaha melindungi diri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling daripada mendapat jangkitan Covid-19. Lumrah manusia cepat ‘lupa diri’ setelah lama tidak bertemu tiba-tiba dapat berkumpul semula beramai-ramai. Waktu itu SOP ‘ke laut’.

Seperti jerat tidak melupakan pelandok begitu juga virus Covid-19 yang sentiasa ada sekeliling kita, cuma kita tidak tahu di mana. Seperti kata Pengerusi Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor (STFC) Dr Dzulkefly Ahmad, yang dikatakan PKP itu adalah Perintah Kawalan Pergerakan yang bermaksud apabila kita bergerak sahaja, virus itu ikut kita.

“Jadi mustahak kita untuk faham daripada red zone ini, walaupun Selangor sudah diizin rentas negeri, tetapi kalau sayang mak ayah, kita jangan rentas,” katanya.

Jika tidak ada pilihan, terpaksa juga pulang lebih-lebih lagi sebelum sekolah dibuka, perkara penting yang perlu dipatuhi adalah SOP. Masyarakat perlu lebih berdisiplin mematuhi SOP.

Jangan pandang remeh nasihat yang diberi walaupun nasihat jangan melakukan ‘fist bump’ atau menggenggam tangan dan melagakannya apabila berjumpa. Hakikatnya siapa pun tidak tahu sama ada seseorang itu membawa bersamanya Covid-19.

Begitulah pentingnya kawalan kendiri dan ‘kita jaga kita’ dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. Lebih baik beringat sebelum kena.

Related posts

Leave a Comment