Warisan pula ke Semenanjung

KOTA KINABALU 12 Dis. – Selepas Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) melantik Pengerusi STAR Semenanjung, Parti Warisan Sabah (Warisan) pula akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung dalam usaha mengukuhkan parti itu termasuk sama-sama terlibat dalam pembuat keputusan dan pentadbiran Malaysia.

Presidennya, Mohd Shafie Apdal berkata, sudah sampai masanya Warisan melebarkan ideologi kepelbagaian kaum dan agama itu ke Semenanjung.

Tegasnya, langkah itu merupakan hala tuju ke hadapan Warisan selain yakin moto ‘unity’ yang dibawa boleh diterima rakyat Semenanjung,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Dewan Hakka Kota Kinabalu pada Sabtu.

“Kalau UMNO boleh bertapak di Sabah… kalau Amanah boleh bertapak di Sabah kepada tidak Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung. Tiba masanya kita bukan sahaja melihat kepada Sabah sahaja tetapi juga menjadi kuasa dalam pembuat keputusan dan pentadbiran kepada negara,” katanya.

Dalam ucapan itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan bahawa penubuhan Warisan pada 2016 bukan mahu bersama-sama dalam komponen Pakatan Harapan (PH) sebaliknya Warisan bersedia untuk bekerjasama dengan PH sebagai PH plus.

Kelmarin, 10 Disember, bekas Pengerusi Persatuan Kontraktor Minyak dan Gas Sabah (SOGCA) Iskandar Abdul Malik dilantik sebagai Pengerusi STAR Semenanjung berkuatkuqsa 9 Disember lalu.

Watikah pelantikan Iskandar, yang merupakan seorang ahli korporat dan pernah menyertai beberapa syarikat berkaitan kerajaan sebagai lembaga pengarah itu, disampaikan oleh Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur.

“Pelantikan Iskandar sebagai Pengerusi STAR Semenanjung dilihat mampu membantu memperkukuhkan lagi parti memandangkan beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk politik dan korporat,” kata Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Iskandar yang turut menerima kad keahlian seumur hidup menzahirkan penghargaan atas pelantikan itu dan menyifatkan ia sebagai satu amanah besar dalam membawa perjuangan STAR di Semenanjung.

Beliau mengajak anak-anak Sabah di Semenanjung untuk bersama-sama dalam perjuangan STAR.

Related posts

Leave a Comment