Covid-19 dijangka meningkat

KERAJAAN menjangkakan peningkatan bilangan kes harian Covid-19 lebih tinggi dalam masa terdekat berikutan langkah saringan wajib bagi pekerja asing, kata

Menteri Kanan Pertahanan,  Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ujian saringan masih dijalankan terhadap kira-kira 888,000 pekerja asing yang bekerja di Kuala Lumpur, Labuan, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dann Sabah.

Beliau berkata, keadaan itu juga menjelaskan punca peningkatan kes agak tinggi terutama membabitkan semua negeri terbabit sejak beberapa hari lalu.

“Saya dah umumkan bahawa kita akan membuat saringan wajib kepada semua pekerja warga asing di kilang… di industri-industri… jadi apabila kita buat (saringan) sudah tentu akan ada result (keputusannya), jadi result dah keluar (beberapa hari sebelum) ini.

“Kita boleh jangkakan result yang tinggi mungkin akan berterusan sebab ada 1.7 juta pekerja asing di seluruh negara kita… dan kita mulakan di enam negeri.

“Pekerja asing di enam negeri itu ada seramai 888,000 orang. Bayangkan, daripada 888,000 orang ini, kalau lima peratus didapati positif, sudah berapa ramai bilangannya.

“Saya nak tekankan di sini, selagi ia tidak merebak di dalam komuniti, maka kita anggap ia masih boleh dikawal kerana hanya melibatkan pekerja-pekerja asing sahaja,” katanya selepas menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Istana Arau pada Sabtu, 12 Disember.

Pada Jumaat, Malaysia mencatatkan sebanyak 1,810 kes positif COVID-19 baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara kini melebihi 80,000 kes iaitu sebanyak 80,309 kes.

Sementara itu pada Khamis, 2,234 kes positif dicatatkan dengan Selangor menjadi negeri tertinggi iaitu sebanyak 1,428 kes (63.9 peratus).

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 1,321 kes (93.2 peratus) adalah daripada saringan kontak rapat dan kluster-kluster.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak bercadang mengehadkan dan menghalang pergerakan rakyat untuk selama-lamanya.

Katanya, rakyat perlu mematuhi setiap peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Related posts

Leave a Comment