Gagal pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Masih ramai ingkar arahan memakai pelitup muka apabila 77 kes dilaporkan semalam, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada 50,258 pemeriksaan dilakukan, polis menahan 241 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dengan 202 dikompaun dan 39 individu direman.

Kesalahan ingkar arahan PKP yang lain termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78 kes), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal 43 kes dan aktiviti di pusat hiburan 41 kes.

Sementara itu, Operasi Benteng pada hari sama berjaya menahan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI), satu tekong serta merampas enam kenderaan darat dan dua bot/kapal.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 39 operasi sanitasi meliputi 11 Zon Merah, tiga Zon Jingga, 10 Zon Kuning dan lima Zon Hijau dilaksanakan semalam.

Beliau juga memberitahu, seramai 86,398 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak Julai lalu, di mana semua mereka ditempatkan di 78 hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 12,827 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 543 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Related posts

Leave a Comment