Putra jadi ‘semak dan imbang’

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan menjadi kuasa ketiga bagi memainkan peranan semak dan imbang  bukannya  beretorik atau menipu rakyat untuk mendapatkan undi pilihan raya, kata Presidennya, Ibrahim Ali.

“Putra akan bersikap dengan penuh keberanian serta iltizam politik untuk merealisasikan impian Bangsa Pribumi supaya ‘Pisang Tidak Berbuah Dua Kali’. Cukuplah Bangsa Pribumi dan jangan lagi mengulangi pengalaman sebelum ini ‘sudah Terhantuk Baru Hendak Terngadah’,” katanya

Katanya, Putra lahir di tengah-tengah kegelisahan Bangsa Pribumi, di tengah-tengah kerosakan negara disebabkan pemimpin tidak bersih dan tidak bermoral.

Justeru, Putra akan menjadi benteng dan bahtera mungkin yang terakhir bagi menongkah gelombang derita dan keluh-resah orang Melayu, umat Islam dan Bangsa Pribumi.

Ibrahim berkata, biar apa pun label terhadap Putra seperti ekstremis, rasis dan tidak mengikut peredaran zaman, Putra rela menghadapi apa jua cabaran demi ‘survival’ Bangsa Pribumi.

Putra  kata Ibrahim akan melakukan apa sahaja mengikut ruang lingkup perundangan negara yang sedia ada bagi memastikan Tanah Rezab Melayu dikembalikan ke tahap 50 peratus.

Tanah Rezab Melayu yang asalnya berjumlah 3 juta hektar sewaktu negara mencapai kemerdekaan pada 1957, berkurangan kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1995 dan pasti ianya makin berkurangan pada tahun 2020 ini.

“Orang Melayu dan Bangsa Pribumi harus sedar tentang hal ini kerana jika Bangsa Pribumi hilang buminya, maka hilanglah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ ,” katanya.

Menurut Ibrahim, walaupun Laksamana Hang Tuah pernah berkata bahawa ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia’ tetapi umat Palestin juga tidak hilang di dunia, Melayu Singapura juga tidak hilang di dunia tetapi mereka hilang buminya.

Putra juga mahu pendidikan sekolah satu aliran dilaksanakan selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memartabatkan Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di bawah Perkara FASAL 151 dan 152 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Perpaduan Nasional tidak direalisasikan melalui Sistem Pendidikan bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang sentiasa seperti ‘telur di hujung tanduk’ atau ‘ibarat api dalam sekam’.

“Negara boleh musnah sekelip mata dan semua pihak akan mengalami kerugian. Peristiwa 13 Mei adalah pengajarannya,” katanya.

Ibrahim juga menyentuh isu biasiswa sebagai hak istimewa orang Melayu, isu penghinaan terhadap kesucian Agama Islam, Hak-hak Keistimewaan Orang Melayu dan Bangsa Pribumi dipersoalkan, Institusi Diraja dicaci serta dihina sehingga menyakitkan hati bagi mereka yang berdarah patriotisme.

Related posts

Leave a Comment