217 ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR 10 Dis. –  Seramai 217 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Rabu, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 210 individu dikompaun manakala tujuh individu pula direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 99 individu melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka, 60 individu gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan.

Seramai 31 individu gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, 17 individu ditahan kerana melakukan aktiviti pusat hiburan dan 10 individu atas kesalahan lain-lain.

Sementara itu, Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) berjaya menahan 67 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), 2 tekong serta merampas 4 kenderaan darat dan 8 bot/kapal.

“Sebanyak 121 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan pada Rabu,” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan sejak 24 Julai sehingga 9 Disember 2020, seramai 85,383 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 77 hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 12,626 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 542 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 72,215 individu telah dibenarkan pulang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment