Dana JASA kini RM40.5 juta

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Dewan Rakyat meluluskan usul pemotongan dana bagi Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebanyak RM45 juta bagi butiran di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

JASA yang kini dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), sebelum ini diperuntukkan  RM85.5 juta, kini tinggal RM40.5 juta.

Keputusan itu diumumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun selepas kertas pindaan yang dibawa Timbalan Menteri Kewangan 1 Abdul Rahim Bakri (Bersatu-Kudat), selesai dibahaskan.

Sementara itu, cubaan lima Ahli Parlimen iaitu Wifred Madius Tangau (UPKO-Tuaran), Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzi (PH-Lembah Pantai), Fuziah Salleh (PH-Kuantan), dan Mukhriz Tun Mahathir (Bebas-Jerlun) untuk memansuhkan J-KOM tidak dipersetujui majoriti ahli Dewan Rakyat.

Wilfred ketika membentangkan usul itu berkata, sewajarnya keseluruhan peruntukan RM85.5 juta untuk jabatan itu disalurkan terus kepada Kementerian Kesihatan bagi memberi keutamaan kepada petugas kesihatan.

“Misi JASA atau J-KOM ini ialah propaganda politik untuk kerajaan. Tak adil untuk belanja duit rakyat dengan tujuan untuk menyebar propaganda politik. Kerajaan tidak sepatutnya masih berniat politik ketika era pandemik COVID-19,” katanya lagi.

Fuziah pula berkata, penjelasan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah bahawa J-KOM itu bertujuan untuk memperkasakan komuniti adalah tidak jelas, memandangkan sudah ada program pemerkasaan komuniti.

Ujarnya lagi di bawah Jabatan Penerangan, sudah pun ada program komuniti seperti Komuniti Harapan dan Komuniti Lestari.

Mukhriz pula berkata sepatutnya peruntukan tersebut terus disalurkan kepada Jabatan Penerangan.

“Kita juga faham, JASA ada kelebihan berbanding JAPEN, iaitu mereka mempunyai jabatan penerangan yang wujud sampai setiap pelosok negara.

“Ini satu jentera yang sangat berkesan untuk buat kerja kerajaan kalau ia diberikan arahan yang baik. Tapi ia tercemar apabila jadi satu alat politik untuk menggambarkan benda tak betul dilakukan parti pemerintah,” tegasnya lagi.

Ketika menggulung, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, J-KOM walaupun dijenamakan semula daripada JASA, namun ia mempunyai peranan dan fungsi yang jauh berbeza.

“Saya sebut kerjasama antara agensi, kementerian, daripada waktu saya gulung di peringkat dasar dulu lagi. Saya nak sebut di sini bahawa banyak agensi di bawah KKMM ini cuma ada di peringkat kebangsaan dan negeri.

“Contohnya SKMM, MdeC, MyNIC, CSM, dan Finas. Ada waktunya sebahagian daripada tugasan dan termasuk beri kesan kepada peruntukan, tak sempat dibelanjakan. Bukan kerana tidak pandai atau kelemahan pegawai, tapi memang tak ada foot soldiers di peringkat daerah,” katanya lagi.

Selain itu, Saifuddin berkata, J-KOM mempunyai peranan yang lebih spesifik dan menyeluruh dalam memastikan dasar serta inisiatif Kerajaan dapat disampaikan dan dihulurkan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

Related posts

Leave a Comment