KUALA LUMPUR 9 Dis. – Hubungan tegang UMNO – Bersatu berhubung isu Menteri Besar Perak berakhir hari ini selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN parti itu di atas kekhilafan pada Jumaat lalu
Perkembangan ini sekaligus menamatkan kemelut politik di Perak yang menyaksikan ketidaktentuan pihak yang memiliki majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri itu selepas Ahmad Faizal Azumu ‘tersingkir’ dari kerusi Menteri Besar selepas gagal dalam undi percaya yang dikemukakan oleh UMNO.
Permohonan maaf oleh Ahmad Zahid dilakukan dalam perbincangan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang di sini hari ini.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung BN Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.
‘’Atas semangat permuafakatan Perikatan Nasional, ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan Datuk Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak,’’ kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu juga memberitahu, perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.
‘’Ketiga-tiga parti turut sepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional di Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,’’ kata kenyataan itu.
Krisis politik di Perak tercetus apabila UMNO mengemukakan usul percaya kepada Ahmad Faizal. Bagaimanapun hasil pengundian menyaksikan ADUN Chendering kalah dengan 48 tidak bersetuju manakala 10 bersetuju.
