Mengenali Rishi Sunak

LONDON: Rishi Sunak, 42 menjadi Perdana Menteri Britain pertama membabitkan pemimpin dari luar selepas memenangi persaingan untuk memimpin Parti Konservatif.

Sunak menggantikan Liz Truss yang berundur selepas hanya enam minggu (44hari) memegang jawatan Perdana Menteri berikutan pelan ekonominya menggugat pasaran kewangan dan menaikkan kos sara hidup pengundi.

Dilahirkan pada 12 Mei 1980, Sunak adalah anak sulung daripada tiga beradik,

berasal dari Southampton tetapi mempunyai beberapa rumah termasuk di Kensington, Yorkshire Utara, Santa Monica, California, dan sebuah flat di tengah London.

Ibu bapanya beragama Hindu dan berketurunan Punjabi, bapa Rishi ialah Yashvir dan ibunya ialah Usha.

Yashvir dilahirkan dan dibesarkan di Kenya dan bekerja sebagai doktor di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), manakala ibunya dilahirkan di Tanzania dan bekerja sebagai ahli farmasi selain turut menguruskan farmasi .

Beliau mendapat pendidikan di Kolej Winchester yang menelan kos pengajian sebanyak £43,335 (RM232,558) setahun, kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti Oxford dalam bidang politik, falsafah dan ekonomi sebelum menyambung pengajian di Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Di sini, beliau bertemu dengan isterinya Akshata Murthy, yang merupakan anak jutawan India, N.R. Narayana Murty, iaitu pengasas bersama syarikat teknologi maklumat (IT), Infosys. Sunak berkahwin dengan Akshata Murthy di Bangalore, India pada tahun 2009. Pasangan ini dikurniakan dua anak perempuan, Krishna dan Anoushka.

Isterinya menguruskan label fesyennya sendiri, Akshata Designs, dan juga pengarah firma modal usaha niaga yang diasaskan bapanya.

Selepas tamat pengajian, Sunak bekerja di bank pelaburan Goldman Sachs sebelum berpindah ke pengurusan dana lindung nilai dan menjadi rakan kongsi dalam Pengurusan Dana Pelaburan Kanak-kanak.

Ketika berusia 29 tahun, beliau membantu dalam menubuhkan firma pelaburan swasta, Theleme Partners sebelum bekerja dengan bapa mertuanya, sebagai Pengarah Catamaran Ventures.

Beliau menjadi Ahli Parlimen sejak 2015 mewakili kawasan Richmond dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara kepada Perbendaharaan dan Canselor Perbendaharaan ketika Boris Johnson menjadi Perdana Menteri.

Sebagai Canselor semasa pandemik COVID-19, antara pencapaian beliau yang paling diiktiraf ialah skim cuti dan program ‘Eat Out To Help Out’.

Ketika Sunak bertanding bagi merebut jawatan Perdana Menteri dengan Liz Truss berikutan pengunduran Boris Johnson, beliau memfokuskan terhadap imigresen dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) sebagai keutamaan agendanya. Namun kini Sunak mempunyai lebih banyak krisis kewangan di tangannya.

Beliau komited dengan skim Rwanda UK dan memberi bayangan untuk melaksanakan skim itu di negara lain.

Sunak juga memperjuangkan berhubung penghijrahan dengan dasar luar di mana negara yang bekerjasama dengan UK bagi membenarkan migran pulang akan diberi ganjaran dengan bantuan, perdagangan dan visa.

Sunak perlu menangani pelbagai krisis ekonomi dan politik sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran.

Beliau ditugaskan untuk memimpin negara yang berdepan cabaran kemelesetan ekonomi sehingga menyebabkan jutaan rakyatnya menjadi lebih miskin.

Selepas dipilih sebagai Perdana Menteri, Sunak memberitahu negara itu menghadapi ‘cabaran ekonomi yang mendalam’ berkata “Kita kini memerlukan kestabilan dan perpaduan, dan keutamaan saya adalah untuk membawa parti dan negara kita bersama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment