MB Perak hilang sokongan

IPOH 4 Dis. – Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar’ (undi percaya) yang berlangsung pagi ini.

Dalam proses pengundian yang dijalankan secara sulit itu, usul tersebut hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 yang tidak menyokong dan satu berkecuali.

Usul dibawa ADUN Pengkalan Baru daripada Barisan Nasional (BN)  Abd Manap Hashim.

Sebelum ini, menerusi surat bertarikh 18 November, Abd Manap berkata, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mempunyai keyakinan majoriti ADUN.

Walaupun usul tersebut yang terakhir di dalam aturan urusan persidangan hari ini, tetapi dua ADUN, Salbiah Mohamed (BN-Temengor) dan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) membawa usul agar ia disegerakan.

Usul kedua-dua ADUN itu kemudiannya disokong majoriti ahli Dewan.

Speaker, Mohammad Zahir Abdul Khalid memutuskan agar pengundian dibuat secara sulit di mana setiap ADUN diberi kertas undi.

Beliau kemudiannya mengumumkan keputusan undi yang dijalankan secara bertulis itu.

Terdahulu, Abd Manap ketika membentangkan usul tersebut berkata, beliau mahu membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan majoriti dan keyakinan ADUN untuk menerajui kerajaan negeri.

Ini kerana isu “kerajaan pintu belakang” sering ditimbulkan pembangkang, katanya.

Tambahnya, sekalipun pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak sah dari segi undang-undang tubuh negeri, beliau berasakan langkah kedua terbaik ialah “kita sahkan kepimpinan (kerajaan) Perak melalui Dewan ini.”

“Jika kita lihat parti besar (UMNO) yang sokong Perikatan Nasional (PN) di Perak seolah-olah ada masalah dengan menteri besar, maka medan yang paling baik ialah selesaikan di dalam Dewan ini.

“Maka, hari ini kita tentukan secara tuntas sama ada ADUN Chenderiang ada keyakinan majoriti atau tidak,” katanya.

Untuk rekod, bagi sesuatu usul untuk mendapat majoriti mudah, ia memerlukan sekurang-kurangnya sokongan daripada 30 ADUN.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.

Awal hari ini ketika memulakan sesi persidangan, Mohammad Zahir memaklumkan mesyuarat bahawa hari ini kerajaan negeri akan membentangkan belanjawan negeri.

Katanya, beliau juga ada menerima usul mengenai undi percaya kepada menteri besar daripada Abd Manap namun beliau memutuskan menolak usul itu bagi mendahulukan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 negeri berkenaan.

Berdasarkan aturan mesyuarat DUN Perak, usul tersebut ada dalam senarai namun tidak ada tarikh pembentangan.

Menurut jadual, persidangan kali ini berlangsung selama lima hari, bermula hari ini sebelum bersambung pada Selasa hingga Jumaat depan.

Related posts

Leave a Comment