Imbas kembali Selak terakhir

SALAM perpisahan! Itu ayat permulaan yang lebih sesuai untuk minggu ini jika ayat pertama ruangan Selak pada 29 Disember 2008 bermula dengan Salam perkenalan dan selamat menyambut tahun baru Hijrah 1430.

Saya tidak pasti adakah ini catatan terakhir apabila minggu ini saya bersama hampir 800 orang lagi akan meninggalkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Mulai 1 Disember, kami akan berhijrah sebagai orang yang menyahut Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Dalam ‘keterpaksaan kami melangkah kaki’ meninggalkan sebuah syarikat yang sudah banyak jasanya.

Biar apa orang kata, terima kasih kepada Utusan kerana memberi rezeki selama ini untuk diri, dan keluarga. Justeru, tidak perlu rasanya minggu ini saya menulis mengenai isu-isu semasa. Lupakan isu panas seperti ICERD, 1MDB, FGV dan pelbagai lagi. Biarlah kali ini isu ‘rumah tangga’ iaitu VSS.

Sudah menjadi lumrah bagi mana-mana syarikat untuk mengambil langkah seperti ini jika keadaan semasa tidak mengizinkan syarikat terus berkembang dengan jumlah tenaga kerja yang ramai. Bagi menyusun atau penstrukturan semula syarikat, langkah pengurangan kakitangan dan penjimatan kos perlu dilakukan. Setakat ini dua loji percetakan sudah ditutup iaitu di Johor Bahru dan Kuala Terengganu.

Begitu juga dengan penutupan pejabat biro di seluruh negara. Suatu keputusan yang amat sukar. Memang amat pedih dan sedih meninggalkan syarikat dalam keadaan sebegini.

Walaupun kudrat masih ada dan boleh menggalas tanggungjawab tetapi pertimbangan lain perlu dibuat. Kata orang fikir semasakmasaknya. Biar jatuh terletak, jangan jatuh terhentak.

Ibarat sebuah kapal, jika kapal itu mahu tenggelam sama ada terlalu sarat, dilambung ombak atau bocor, anak-anak kapal boleh membuat pilihan sama ada untuk kekal bersama tanpa mempedulikan sama ada kapal itu karam atau sebaliknya.

Jika ada yang memilih untuk terjun, tidak ada jaminan mereka selamat kerana mungkin menjadi habuan jerung atau lemas begitu sahaja kerana gagal berenang hingga ke tepian.

Nakhoda juga boleh membuat keputusan. Dia boleh memilih anak kapal mana yang harus bersama untuk mengharungi pelayaran seterusnya. Mereka yang terpilih untuk meninggalkan kapal harus reda dan menerima secara positif. Mungkin langkah itu dapat membantu memberi ruang kepada kapal untuk meneruskan pelayaran dengan lebih lancar, tanpa membawa ‘beban’ yang berat.

Siapa tahu ‘benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau’. Bagi yang terus berada di atas kapal pula, jangan membuat pelbagai andaian apatah lagi dalam mempersoalkan ‘kesetiaan’ kepada kapal.

Risiko pelayaran sukar diduga. Bagi saya, selama ini kapal itu telah belayar dengan baik di bawah empat nakhoda, Zainuddin Maidin, Johan Jaaffar, Khalid Mohd dan Aziz Ishak.

Syukurlah di bawah syarikat ini saya dapat mengenali pelbagai ragam manusia. Bermula sebagai pemberita kadet yang meninjau kehidupan masyarakat di desa dan kota termasuk masyarakat jalanan sehinggalah kepada pemimpin parti politik dan negara, cendekiawan, ulama dan pelbagai lagi.

Terlalu banyak untuk diceritakan tetapi yang menariknya sudah tentulah politik. Walaupun ruangan ini tidak kerap menulis politik tetapi kerjaya wartawan ini mendekatkan diri dengan orang politik terutama melibatkan UMNO, MCA, MIC, Gerakan, Pas, IPF dan DAP.

Saya tidak aktif politik sekadar menjadi ahli cawangan di Kampung Guar Perahu. Waktu muda apabila sampai usia 21, kerja pertama menggantung poster pilihan raya umum ketika cikgu di kampung saya, Ahmad Kadir yang juga Setiausaha UMNO bahagian dan rombongan bersetuju menerima Saudara Anwar Ibrahim untuk bertanding di Permatang Pauh. Itulah kerja politik saya yang pertama.

Memang meriah kempen ketika itu. Saya masih ingat ramai sahabat Anwar turun berkempen, termasuklah Ibrahim Ali. Bila tidak ada kerja, saya kerap lepak di pejabat UMNO bahagian berdekatan Sekolah Menengah PGAS di kampung. Kadang-kadang ikut setiausaha kerja ke sana sini. Apabila UMNO diharamkan, saya tidak memperbaharui keahlian sehinggalah ke hari ini.

Bagi saya cukuplah dengan memerhati gelagat orang politik. Ada yang jujur dan ada yang sentiasa mengambil kesempatan atau peluang untuk diri sendiri. Lihatlah apa yang berlaku hari ini. Benar, orang politik membantu kita tetapi ada ketikanya mereka mempermainkan kesetiaan dan kepercayaan yang diberi. Mungkin ini yang menyebabkan ada orang berkata politik itu kotor sedangkan pelaku yang ‘kotor’.

Sebenarnya sebelum di Utusan, saya pernah berkhidmat dengan Bintang Timur, sebuah akhbar tabloid yang begitu popular di utara tanah air. Apabila diterima masuk sebagai pemberita kadet pada Januari 1983, kerjaya wartawan terus berkembang. Pelbagai jawatan diamanahkan sehingga kepada kedudukan yang tidak pernah diimpikan.

Kepercayaan yang diberi amat dihargai. Bermula sebagai pemberita kadet menjadi wartawan, ketua biro di Johor, Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia dan Pengarang MASSA. Lebih enam tahun berkhidmat di Mingguan Malaysia (MM) sebagai Penolong Pengarang, Pemangku Pengarang sehinggalah dilantik sebagai Pengarang MM untuk tempoh lebih empat tahun.

Disember 2008 memikul tanggungjawab sebagai Pengarang Utusan Malaysia dan akhirnya pada April 2016 kepada jawatan yang disandang sekarang. Terima kasih Utusan. Jasa mu tetap dikenang. Kepada pembaca, terima kasih atas sokongan dan teguran. Mohon maaf jika selama ini mengguris perasaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Selak biasanya menegur secara sinis, beralaskan peribahasa, pepatah atau kiasan. Jika pembaca faham, baguslah. Selak mohon selak Selak, kerana biasanya ruangan ini akan berakhir selepas penulisnya menamatkan perkhidmatan!

Jika berkesempatan Selak akan terus Selak-Selak di pentas lain. Selamat tinggal ‘bungaku’.

Related posts

Leave a Comment