KUALA LUMPUR 18 Mac – Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail hampir pasti dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO selepas meraih satu pertiga daripada 189 undian pada pemilihan parti itu, setakat ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mendahului tujuh pesaingnya dengan 63 undian, setakat pukul 10.36 malam ini.
Ini diikuti penyandang Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin dengan 58 undian, yang juga meletakkan beliau dalam keadaan selamat bagi mempertahankan jawatan berkenaan.
Menduduki tempat ketiga dalam saingan itu adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani yang meraih 45 undi.
Penyandang Ahli MKT UMNO yang juga calon tunggal wanita bagi jawatan berkenaan, Azalina Othman Said pula berada di kedudukan keempat dengan 35 undi.
Pesaing lain, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican pula meraih 26 undi, diikuti Ahli Parlimen Simpang Renggam Hasni Mohamad 17 undi.
Seorang lagi penyandang jawatan Naib Presiden, Mahdzir Khalid memperoleh 11 undi sementara, calon kurang dikenali yang juga ahli UMNO Iskandar Puteri, Dr Mohd Yusof Musa gagal meraih sokongan.
