1,309 kes baharu, 3 kematian

PUTRAJAYA 29 Nov. – Masih empat angka apabila kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini sebanyak 1,309 menjadikan jumlah kes positif meningkat kepada 64,485 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 11,481 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,308 kes pula adalah merupakan penularan dalam negara.

Bagi jumlah kes sembuh hari ini, sebanyak 1,333 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 52,647 kes.

Beliau memberitahu, terdapat tiga kematian melibatkan masing-masing seorang lelaki tempatan di Perak dan Negeri Sembilan dan seorang wanita bukan warganegara di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kematian 357 kes.

Kes kematian itu melibatkan lelaki tempatan berusia 64 tahun yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan penyakit hati kronik. 

Kes kematian kedua pula melibatkan seorang lagi lelaki tempatan berumur 89 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kanser perut telah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Kes kematian ketiga melibatkan seorang wanita bukan warganegara berusia 53 tahun yang disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis. 

Dr Noor Hisham berkata terdapat 116 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment