Kenyataan DAPSY keterlaluan

KENYATAAN Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang memberi kata dua kepada Anwar Ibrahim supaya memohon maaf dan membubarkan Pakatan Harapan (PH) menimbulkan reaksi balas pemimpin PKR yang menyifatkannya sebagai biadab dan keterlaluan.

Mereka menyifatkan kenyataan Setiausaha DAPSY, Eric Teh Hoong Keat sebagai tidak berhemah yang sepatutnya dielakkan.

Jumaat lalu, DAPSY memberikan kata dua kepada Pengerusi PH supaya memohon maaf mengenai tindakannya meminta Ketua Whip parti pembangkang agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat serta rakan sekutuya atas kesilapannya, jika tidak, DAP harus berpisah dengan PKR, membubarkan Pakatan Harapan (PH) dan menyusun semula barisan pembangkang di Malaysia,” tegas Eric Teh Hioong Keat dalam satu kenyataan.

Eric menyifatkan insiden berkenaan sebagai saat yang paling memalukan dalam sejarah DAP dan mengecewakan penyokong PH.

Katanya, pihak pembangkang bukan sahaja tidak dapat menghantar 15 Ahli Parlimen untuk mencapai syarat minimum undi belah bahagi, malah memberi laluan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin melepasi halangan dengan mudah.

Eric juga menyifatkan penjelasan yang diberikan ahli parlimen pembangkang bahawa mereka hanya akan menyokong usul undi belah-bahagi di peringkat jawatankuasa serta bacaan ketiga sebagai tidak bertanggungjawab.

Katanya, Anwar bukan sahaja gagal mengembalikan semangat PH dalam Parlimen, malah menghancurkan kredibiliti parti bekas pemerintah itu.

“Sekiranya DSAI masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat, maka pemimpin pusat DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan PKR. Biarlah PH dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain,” tegas Eric.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, ketika ini seharusnya usaha yang diikhtiarkan Anwar disokong dan mendapat kepercayaan penuh.

Menurutnya, ia selepas Majlis Presiden PH sendiri telah memberikan kepercayaan tersebut maka semua sayap dan pimpinan parti seharusnya akur.

“Justeru saya menyeru agar Pemuda DAP dan setiausahanya agar tidak cepat lupa daratan dan membuat sebarang kenyataan tanpa merujuk pimpinan tertinggi partinya.

“Kecelaruan komunikasi seperti ini perlu dielakkan. Ayuh kembali fokus membantu pemimpin mengembalikan mandat rakyat dan mengambil alih semula Putrajaya,” katanya.

PKR Perak pula menyifatkan kenyataan Setiausaha DAPSY sebagai biadab.

Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, sebarang kritikan atau teguran perlu dibuat lebih berhemah sekiranya tidak bersependapat dengan arahan pimpinan PH.

Malah menurutnya, cadangan pemimpin muda DAP untuk pertimbangan agar parti itu berpisah dengan PKR dan menyusun semula barisan pembangkang hanya mengundang perpecahan.

“Sekiranya ini pemikiran yang wujud di dalam PH, maka apa gunanya meletakkan amanah dan kepercayaan kepada pemimpin?

“Saya berharap pemimpin PKR mahupun PH berdiri teguh bersama Datuk Seri Anwar dalam memastikan kebajikan rakyat terjamin pada masa yang sama mengembalikan mandat rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment