Sedia tinggalkan Rumah Putih

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedia meninggalkan Rumah Putih jika Badan Perwakilan Pemilih mengesahkan kemenangan Presiden yang dipilih, Joe Biden.

Kenyataan itu dilihat sebagai hampir mengaku kalah dalam pilihan raya presiden negara itu, walaupun sebelum ini mengulangi dakwaannya yang tidak berasas mengenai penipuan pengundian besar-besaran.

Bercakap kepada wartawan sempena cuti Thanksgiving kelmarin, Trump berkata jika Biden – yang akan dilantik pada 20 Januari – disahkan sebagai pemenang pilihan raya , beliau akan meninggalkan Rumah Putih.

Bagaimanapun Trump menambah, sukar baginya untuk mengaku kalah dalam keadaan sekarang dan enggan mengatakan sama ada akan menghadiri perasmian pelantikan Biden sebagai presiden Amerika.

“Pilihan raya ini satu penipuan,” tegas Trump, namun tidak memberi sebarang bukti konkrit mengenai penipuan undi itu.

Badan Perwakilan Pemilih dijadual bertemu pada 14 Disember.

Di Amerika, calon menjadi presiden bukan dengan memenangi majoriti undi popular nasional tetapi melalui sistem Badan Perwakilan Pemilih, yang mengagihkan undi pemilih kepada 50 negeri dan Distrik Columbia berdasarkan penduduk mereka.

Terdapat sejumlah 538 undi pemilih, yang bermakna calon perlu memperoleh 270 undi untuk menang.

Related posts

Leave a Comment