577 ingkar arahan PKPP

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Seramai 217 individu yang gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal adalah antara 577 orang yang ditahan polis atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 577 individu yang ditahan, 55 individu direman sementara yang lain dikenakan kompaun.

Turut ditahan adalah 116 pengunjung kelab hiburan, 113 tidak memakai pelitup muka , 71 orang gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, 53 rentas negeri atau daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran dan lain-lain kesalahan sembilan orang.

“Juga dipantau, sebanyak 941 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air serta 83 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengenai Operasi Benteng, sebanyak 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua penyeludup ditahan selain empat kenderaan darat turut dirampas.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya

Menurut Ismail Sabri, 2,737 pasukan pematuhan melibatkan 13,387 anggota telah membuat pemantauan di 3,426 pasar raya, restoran (4,949), penjaja (1,866), kilang (1,336), bank (3,435) dan 552 pejabat kerajaan.

“Semalam, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 637 pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (467), pemborong (139) dan pengilang (31),” katanya.

Selain itu katanya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 444 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati kesemua premis telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Related posts

Leave a Comment