Lapan kluster baharu

PUTRAJAYA 18 Nov. – Lapan lagi kluster baharu dikenal pasti manakala tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata tiga kluster baharu melibatkan Sabah iaitu Kluster Sabaru, Kluster Tomher dan Kluster Garden.

Kluster lain ialah Kluster Putra-18 (Putrajaya, Selangor), Kluster Murni (Kuala Lumpur, Selangor), Kluster Seri Pasir (Pulau Pinang), Kluster Besi Demak (Sarawak) dan Kluster Parit Kassan (Johor, Melaka).

Tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini adalah Kluster Kencana (yang melibatkan Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Terengganu), Kluster Bah Sintok (Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor) serta Kluster Seri Anggerik (Selangor).

Kluster Sabaru melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah dengan kes indeks dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 November lepas dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

“Saringan komuniti di kawasan setempat telah mengesan sebanyak 87 lagi kes positif Covid-19 dalam kluster ini. Kes-kes tersebut telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Sepagaya,” katanya.

Kluster Tomher melibatkan daerah Ranau dengan kes-kes bagi kluster itu merupakan pekerja buruh binaan yang telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kumpulan berisiko tinggi sejak 9 November lepas.

Beliau berkata kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Ranau manakala setakat ini, 20 kes dikesan positif daripada sejumlah 276 yang disaring.

Kluster Garden pula melibatkan daerah Tawau dengan kes indeks dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 November lepas manakala saringan kontak rapat mengesan 10 lagi kes positif dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Tawau.

Selain itu, Kluster Putra-18 melibatkan Putrajaya serta daerah Petaling dan Sepang di Selangor dengan kes indeks dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 November lepas dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh manakala saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif setakat ini. 

Kluster Murni pula melibatkan daerah Cheras dan Kepong di Kuala Lumpur serta Petaling di Selangor dengan kes indeks dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 15 November lepas manakala enam lagi kes positif dikesan setakat ini hasil saringan kontak rapat dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Kluster Seri Pasir melibatkan daerah Timur Laut di Pulau Pinang dengan 11 kes dikesan positif manakala 13 lagi masih menunggu keputusan.

“Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 Nov 2020, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif Covid-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata Kluster Besi Demak melibatkan daerah Kuching di Sarawak dengan kes indeks dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 15 November lepas dan setakat ini, empat lagi kes dikesan positif manakala 12 individu masih menunggu keputusan daripada 237 yang disaring.

Kluster Parit Kassan pula melibatkan daerah Tangkak di Johor dan Melaka Tengah dengan kes indeks dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 13 November dan dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor.

Katanya sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 105 individu telah disaring yang menyaksikan 11 kes dikesan positif dan 24 individu masih menunggu keputusan.

Related posts

Leave a Comment