Lanjut PKPD, kawasan baharu

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi beberapa kawasan di negeri Sabah dan Pulau Pinang setelah mendengar saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang dilanjutkan PKPD di Pulau Pinang melibatkan Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai.

Lanjutan itu untuk tempoh selama 14 hari lagi bermula 19 November sehingga 2 Disember.

“Sehingga kini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan adalah sebanyak 557 kes dan pihak KKM mengesahkan masih terdapat 75 ujian saringan dalam kalangan banduan, staf dan keluarga yang masih menunggu keputusan,” katanya.

Di Sabah, lanjutan PKPD melibatkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan selama 14 hari lagi bermula 20 November 2020 hingga 3 Disember,” katanya lagi.

Setakat ini, KKM telah membuat sebanyak 1,743 saringan dan sehingga 17 November 2020 masih terdapat 141 kes aktif direkodkan manakala 203 sampel saringan lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu,  kawasan baharu PKPD mulai 20 November hingga 3 Disember ini melibatkan Zon B, Zon C Taman Meru 2C Ipoh dan Kampung Nakhoda serta Kampung Tegudon, Kota Belud, Sabah.

PKPD yang di Ipoh melibatkan seramai 2,288 penduduk dan 572 buah rumah bagi kedua-dua lokaliti berkenaan.

Bagi kawasan terlibat di Sabah akan melibatkan seramai 1,740 penduduk di kedua-dua lokaliti ini.

Sehingga 16 November 2020, sebanyak 938 saringan telah dilaksanakan dan 76 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Zon B, Zon C Taman Meru 2C Ipoh manakala

di kawasan Kota Belud, sebanyak 36 kes positif direkodkan di kedua-dua lokaliti.

Related posts

Leave a Comment