Tiga negeri tiada kes baharu

PUTRAJAYA 13 Nov. – Tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Terengganu tidak melaporkan sebarang kes baharu hari ini sementara Sabah masih mendahului dengan merekodkan 556 kes baharu.

Bagaimanapun, jika digabung tiga negeri di kawasan Lembah Klang iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur,  jumlah jangkitan melebihi 600 kes, mengatasi jumlah kes Sabah.

Selangor mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu 361, Kuala Lumpur 201, Negeri Sembilan 83 dan Putajaya satu kes.

Pulau Pinang merekodkan 42 kes, Sarawak, Perak dan Melaka masing-masing 13 kes, Kedah dan Kelantan masing-masing merekodkan lima kes, Labuan empat dan Johor tiga kes.

Semalam, Kementerian Kesihatan menyuarakan kebimbangan mengenai pergerakan keluar masuk 6 juta rakyat di Lembah Klang dan Negeri Sembilan yang boleh menyumbang kepada kenaikan kes dan penularan Covid-19. 

Bagaimanapun Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata proseduroperasi standard (SOP) pergerakan merentas negeri yang hanya membenarkan perjalanan bagi urusan bekerja dan hal-hal kecemasan, sudah memadai ketika ini.

Katanya, belum ada keperluan untuk mengetatkan SOP pergerakan rentas negeri yang berkuat kuasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya, kebenaran rentas negeri hanya untuk mereka yang terpaksa hadir ke pejabat dan bagi mengurangkan pergerakan serta interaksi dalam kalangan masyarakat, selain arahan bekerja dari rumah telahpun berkuat kuasa 22 Oktober lepas.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua rakyat yang merentas negeri untuk bekerja, supaya membawa surat kebenaran bekerja oleh majikan atau pas pekerja bersama mereka seperti yang diwajibkan.

Related posts

Leave a Comment