3 penumpang satu kereta

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Kerajaan bersetuju membenarkan tiga orang daripada satu keluarga berada dalam sebuah kereta ketika keluar rumah, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kelonggaran di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu sama seperti yang diberikan kepada kenderaan e-hailing dan teksi, dua penumpang dan satu pemandu.

“Oleh kerana kita benarkan dua tambah satu dalam e-hailing, iaitu tiga orang dalam setiap kenderaan awam, maka kita samakan jumlah, tiga orang untuk setiap kenderaan.

Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas mendengar pandangan dan juga permohonan daripada orang ramai yang mahu kelonggaran (untuk) tambah penumpang dalam kenderaan persendirian dari rumah yang sama.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kuasa budi bicara polis masih terpakai jika terdapat lebih tiga individu dalam sebuah kenderaan bagi keadaan tertentu misalnya membawa kanak-kanak atau warga emas.

Mengenai perayaan Hari Deepavali  esok, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa akan melakukan rondaan di kawasan perumahan dan perkampungan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan.

Jelasnya di kawasan PKPD, hanya keluarga dalam satu rumah boleh meraikan secara bersama sementara di kawasan PKPB, jiran terdekat turut dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 20 orang dalam satu-satu masa. 

Bagi upacara sembahyang di kuil, hanya 30 orang ditetapkan dalam satu-satu masa mengikut keluasan kuil dengan mematuhi penjarakan fizikal serta upacara sembahyang dibahagikan kepada lima sesi bermula 7 pagi sehingga 12 tengah hari. 

“Saya ingatkan SOP sempena perayaan adalah sama seperti Hari Raya Aidilfitri, jadi saya tak mahu ada pihak tertentu kata kita beri tekanan dan menyusahkan waktu sambutan Hari Deepavali dengan menyekat pergerakan.

“Kita tidak membezakan antara kaum dan agama untuk perkenal SOP kerana semasa Hari Raya Aidiladha, orang ramai juga terikat dengan SOP yang sama,” katanya.

Sementara itu PKPB  di Labuan yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan lagi bermula esok sehingga 6 Disember ini.

Ismail Sabri berkata. keputusan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan kerana masih terdapat pertambahan 35 kes baharu Covid-19 setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 1,135 kes.

PKPB di Labuan bermula 17 Oktober hingga 30 Oktober, yang kemudiannya dilanjutkan sehingga hari ini.

Di samping itu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki, Kuching ditamatkan hari ini, lebih awal dari yang dijadualkan. 

Katanya, ia berikutan kesemua keputusan ujian saringan makmal telah diperoleh semalam dan tiada lagi kes positif dikesan di kawasan itu sejak tujuh hari lepas.PKPD di kampung itu bermula 28 Oktober hingga 10 November, sebelum dilanjutkan sehingga 24 November.

Related posts

Leave a Comment