Pejuang ‘tunggu dan lihat‘

KUALA LUMPUR 12 Nov. –  Seorang lagi mantan Menteri Kewangan mengambil bahagian perbahasan Belanjawan 2021 hari ini dengan menaruh harapan cadangan bernas yang diutarakan ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 diberikan tempat dalam belanjawan itu. 

Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau dan tiga lagi Ahli Parlimen Bebas yang mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menangguhkan keputusan untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021.

Bekas perdana menteri itu berkata :

“Saya reserve diri saya dan parti saya untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021 kerajaan Perikatan Nasional ini,” katanya.

Sebelum ini, dua bekas Menteri Kewangan, Najib Tun Razak (BN-Pekan) berkata BN menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021, sementara Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyatakan belanjawan berkenaan hanya akan disokong jika ia benar-benar belanjawan untuk membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19 dan mengekang wabak itu.

Pada sidang media selepas itu, Dr Mahathir yang ditanya sama ada ia merupakan sokongan bersyarat, berkata: “Macam itulah, kena ada syarat. Saya tidak letak syarat tertentu tetapi nak dengar (cadangan).”

Dr Mahathir dalam perbahasannya berpendapat Belanjawan 2021 tidak perlu mencecah RM322.5 billion dengan peruntukan antaranya bagi pembangunan pejabat pelbagai kementerian sepatutnya ditangguh, sebaliknya peruntukan melawan pandemik Covid-19 ditambah.

Beliau berkata gaji menteri juga perlu dikurangkan sekurang-kurangnya 10 peratus bagi membantu kerajaan menangani Covid-19.

“Saya akui kita telah tangani serangan Covid-19 dengan baik. Tahniah diucapkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, saya tidak fikir beliau takut mati. Tetapi, ada negara yang lebih berjaya daripada kita, ada teknologi baharu yang telah diperkenal, kita perlu belajar daripada mereka yang berjaya,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mencadangkan supaya ujian Covid-19 diadakan lebih kerap bagi membolehkan pengasingan dilakukan terhadap mereka yang dijangkiti sahaja.

“Apabila orang yang sihat dikenakan kuarantin termasuk semasa lockdown, daya keluar, produktivitinya tidak dapat menyumbang kepada ekonomi. Ekonomi negara akan merosot. Sesungguhnya lebih ramai orang yang sihat dikuarantin daripada mereka yang sudah dijangkiti,” katanya.

Dr Mahathir berkata Dasar Kemakmuran Bersama perlu diteruskan bagi mengurang jarak kekayaan ekonomi antara bandar dan luar bandar ekoran kemiskinan di luar bandar menjadi lebih buruk kerana COVID-19.

“Kita semua ingin luluskan bajet. Jika ia tidak lulus, pada lazimnya Perdana Menteri perlu letak jawatan. Akan jadi pula satu krisis politik. Kerajaan pintu belakang ini akan diganti dengan kerajaan tebuk atap, yang juga tidak stabil,” katanya.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai peruntukan keseluruhan yang begitu besar untuk Belanjawan 2021, tetapi tidak dinyatakan sumber pendapatan untuk mencapai jumlah itu.

Beliau turut mempersoalkan kenaikan peruntukan Jabatan Perdana Menteri kepada RM11.7 bilion, peruntukan Projek Khas RM1 bilion, dan RM125 juta untuk Kompleks Angkasapuri.

Mengenai cadangan pemotongan gaji Menteri sebanyak 30 peratus, Dr Mahathir berkata, beliau yakin mereka tidak akan kebuluran jika cadangan itu dilaksanakan.

“Dalam zaman Covid-19, saya tak fikir Menteri akan kebuluran kerana dikurangkan gaji 30 peratus. Sebaliknya terdapat ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi.

“Dan bagi mereka keluarga akan turut menderita. Mungkin tidak 30 peratus. Mungkin hanya 10 peratus,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment