Kenyataan tidak masuk akal, Cuepacs minta mohon maaf

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Tindakan mempertikaikan tanggungjawab dan amanah yang telah dilaksanakan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah adalah tidak bertanggungjawab serta tidak masuk akal, kata Timbalan Menteri Kesihatan 1 Dr Noor Azmi Ghazali.

Katanya, beliau terkejut apabila terdapat pihak tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik yang mempertikaikan kredibiliti dan pengorbanan Dr Noor Hisham dalam membanteras pandemik Covid-19 di negara ini.

“Jika kita merujuk kepada petugas barisan hadapan, Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus Covid-19 selama ini.

“Beliau (Dr Noor Hisham) telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak COVID-19 melanda sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua pihak di Kementerian Kesihatan termasuk Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Dr Noor Hisham akan mengadakan mesyuarat, berbincang dan bertukar idea setiap hari bagi mencari penyelesaian membanteras penularan wabak itu.

“Semua pihak memberi komitmen sepenuhnya dan apatah lagi Dr Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah pastinya mesti menunjukkan contoh terbaik kepada warga kesihatan lain,” katanya.

Sementara itu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing memohon maaf  susulan kenyataan “DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati” yang dibuat pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 semalam.

Presidennya Adnan Mat menyifatkan kenyataan mempersoalkan Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19  sangat keterlaluan dan dilihat merendahkan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus menyekat penularan Covid-19. 

“Kenyataan Yang Berhormat (YB) Bintulu adalah tidak wajar kerana tidak menyelidiki terlebih dahulu maklumat sebenar sebelum mengeluarkan komen yang agak keras kepada penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata Tiong sepatutnya menggunakan saluran yang betul iaitu berjumpa sendiri dengan ketua pengarah atau menteri berkaitan untuk mengemukakan pendapat peribadi atau aduan diterimanya dan bukannya membuat serangan terbuka di Dewan Rakyat. 

“Walaupun niat YB Bintulu adalah untuk menyuarakan masalah petugas barisan hadapan dan rakyat yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan, Cuepacs berharap ia dibuat mengikut saluran yang betul kerana tidak adil untuk Ketua Pengarah Kesihatan diserang melalui platform yang beliau tidak boleh memberi penjelasan,” katanya.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk Noor Hisham selalu turun padang memandangkan saluran komunikasi dengan petugas di lapangan sentiasa berjalan dengan baik mengikut prosedur yang jelas. 

“Oleh itu, walaupun Ketua Pengarah Kesihatan (Noor Hisham) tidak selalu turun di lapangan, beliau tetap bertanggungjawab memastikan perancangan dan keputusan yang dibuat di Putrajaya sampai ke peringkat negeri dan hospital-hospital dengan pantas,” katanya. 

Related posts

Leave a Comment