PKPD tiga lokaliti disambung

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Kudat, Sabah yang sepatutnya berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 26 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata tiga lokasi itu ialah Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapur dan Kampung Landung Ayang.

“Sehingga 11 November , KKM telah melakukan 14,096 saringan kepada penduduk di kawasan ini dan mendapati masih terdapat kes aktif di tiga-tiga lokasi ini iaitu di Kampung Pengaraban sebanyak 21 kes aktif, di Kampung Tanjung Kapur 10 kes aktif dan Kampung Landung Ayang 54 masih aktif.

“Pada masa sama terdapat sejumlah besar sampel ujian saringan masih menunggu keputusan oleh itu atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan setuju supaya PKPD dilanjutkan,” katanya

Beliau juga menjelaskan keputusan pelaksanaan atau perlanjutan PKPP dibuat berdasarkan data dan penilaian risiko termasuk dari segi kebolehjangkitan yang boleh berlaku.

“Inilah yang diambil kira KKM sebelum mereka nasihatkan Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri sebelum kita buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 431 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKPP semalam dengan 413 dikompaun, 17 direman dan seorang lagi dijamin.

Antara kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka (101), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (78), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (72), aktiviti pusat hiburan (42), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (40).

Mengenai Ops Benteng bagi mengawal sempadan negara pula, Ismail Sabri berkata seramai 31  pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan, manakala dua kenderaan darat turut dirampas semalam.

Beliau turut memaklumkan seramai  65,494 individu pulang ke tanah air mulai 24 Julai hingga semalam dan daripada jumlah itu, 9,961 sedang menjalani kuarantin wajib di 68 hotel dan 21 premis termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta. 

Selain itu, 388 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 55,145 telah dibenarkan pulang.

Related posts

Leave a Comment